Sorting by

×

Masyarakat pelbagai kaum raikan Sambutan Tahun Baru Cina

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MACHAP JAYA 10 Februari – Sambutan Tahun Baharu Cina di Melaka berlangsung meriah kerana bukan sahaja diraikan oleh kaum Tionghua tetapi masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Suasana kemeriahan tahun naga itu dapat dilihat apabila Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, turut dikunjungi masyarat Melayu, India dan juga Orang Asli.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, berbanding tahun sebelumnya, Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini lebih meriah selain dianjurkan dalam skala yang besar.

Jelasnya, ini kerana masyarakat Cina percaya tahun naga yang diraikan bukan sahaja membawa tuah malah memberi rezeki yang melimpah.

“Setiap tahun sambutan Tahun Baharu Cina disambut meriah tetapi pada tahun naga ini ia lebih bermakna dan lagi meriah, kerana tahun naga ini paling ditunggu kaum Tionghua.

“Menariknya juga setiap kali sambutan, semua masyarakat tidak kira bangsa akan sama-sama meraikannya. Kepelbagaian budaya dalam masyarakat kita ini amat menarik,” katanya.

Menurut Hee Sem lagi, sambutan Tahun Baharu Cina di Melaka juga meriah apabila ramai pengunjung luar datang ke negeri ini untuk melihat hiasan tanglung termasuk replika naga bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kita dapat lihat sekitar kawasan tumpuan untuk hiasan tanglung seperti di Machap menerima kunjungan yang ramai termasuk dari luar.

“Malah turut difahamkan jumlah kemasukan kenderaan ke Melaka pada hujung minggu juga mencecah 40,000. Pengunjung yang datang bukan sahaja dapat melancong ke tempat tumpuan malah merasaikan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Terdahulu, turut hadir ke rumah terbuka itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1217
Kongsi :
Previous post 20,000 umat Islam banjiri Melaka Berselawat 2024
Next post Polis siasat dakwaan kamera tersembunyi di inap desa
Ubah saiz-+=