Mati di Penjara Kluang: Polis rakam percakapan 12 individu

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

JOHOR BAHRU, 26 Julai – Dua belas individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang, pada 28 Jun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata individu itu terdiri daripada tiga ahli keluarga, lima banduan di dalam sel yang sama serta empat kakitangan penjara.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini laporan bedah siasat masih belum diterima daripada pihak Hospital Sultanah Aminah, di sini.

“Kami tidak dapat jangka berapa lama (laporan bedah siasat diterima), namun pegawai penyiasat sentiasa berhubung dengan pihak hospital,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata jenazah lelaki itu telah diserahkan kepada keluarga pada 29 Jun lepas.

Kamarul Zaman berkata individu yang dijadualkan bebas daripada penjara pada 28 Jun itu, dikejarkan ke sebuah hospital di Kluang kira-kira 7.30 pagi selepas ditemui pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.

Semalam, Kamarul Zaman dilaporkan berkata polis Johor memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan berhubung kematian seorang banduan Kim Shih Keat, 36, seorang pemilik kedai kopi.

Kamarul Zaman dipetik sebagai berkata hasil siasatan kes itu adalah berdasarkan laporan bedah siasat dan patologi, yang menjurus kepada sebab kematian individu berkenaan.

Dalam satu sidang media Ahad lepas, ahli keluarga kepada Kim memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki berkenaan, dapat didedahkan selewat-lewatnya Jumaat.

Kim dijadualkan bebas daripada penjara pada 28 Jun setelah menjalani hukuman penjara selama tujuh hari dan denda RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada 22 Jun lepas.

Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Kim, mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi, hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan Kim telah pun meninggal dunia.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1483
Kongsi :
Previous post KKM agih tiga lagi ubat stok penimbal tampung kekurangan bekalan – Khairy
Next post Lebih tujuh juta pokok bakau, spesis terpilih ditanam untuk pelihara ekosistem hutan paya laut
Ubah saiz-+=