Lebih tujuh juta pokok bakau, spesis terpilih ditanam untuk pelihara ekosistem hutan paya laut

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Sebanyak 7,129,438 pokok bakau dan spesies hutan pesisir pantai terpilih telah ditanam meliputi kawasan seluas 3,240.44 hektar setakat 30 Jun lepas sebagai sebahagian inisiatif memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut di negara ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata inisiatif itu yang dilaksanakan melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara sejak 2005, dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat.

“Pada masa ini, Malaysia mempunyai kawasan hutan paya laut seluas 629,038 hektar, iaitu 3.44 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di seluruh Malaysia.

“Berdasarkan Mangrove Guidebook Southeast Asia, Malaysia mempunyai kepelbagaian spesies flora bakau yang tinggi iaitu sebanyak 42 spesies telah dicatat daripada 52 spesies pokok bakau yang terdapat di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa yang disambut pada 26 Julai setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut termasuk kawasan pesisir pantai.

Beliau berkata kerajaan juga telah melancarkan Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2) pada 14 Jun lepas untuk menggariskan panduan, tindakan perancangan strategik serta hala tuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumber jaya pesisiran pantai di semenanjung dan Labuan.

Menurut Takiyuddin, RFZPPN-2 turut mengambil kira keperluan dan kepentingan untuk memelihara dan memulihara kawasan yang mempunyai biodiversiti tinggi seperti hutan paya laut dan dataran rumput laut di sepanjang pesisiran pantai negara dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata hutan paya laut antara lain memainkan peranan besar sebagai zon penampan bagi melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan tanah, impak pukulan ombak yang kuat dan angin kencang serta menyediakan ekosistem yang sesuai untuk pembiakan hidupan marin yang menjadi punca pendapatan masyarakat tempatan.

“Peranan ekosistem hutan paya laut, rumput laut dan terumbu karang bertambah penting pada ketika ini memandangkan ketiga-tiga ekosistem ini telah dikenal pasti di peringkat dunia sebagai penyerap karbon yang amat efisien,” katanya.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), dianggarkan satu hektar kawasan hutan paya laut mampu menyimpan 3,754 tan metrik karbon, iaitu bersamaan dengan jumlah karbon yang dilepaskan oleh 2,650 buah kereta selama setahun.

Takiyuddin berkata usaha melindungi dan memelihara hutan paya laut di negara ini amat mencabar memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang pesat membangun, dan pembangunan kawasan pesisir pantai, akuakultur, pertanian dan pencemaran yang tidak terkawal menyumbang kepada kehilangan kawasan itu.

“Kehilangan kawasan hutan paya laut bukan sahaja akan memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan hidup masyarakat setempat terutamanya penduduk di pesisir pantai, tetapi ia juga menyebabkan kehilangan sumber penyerap karbon yang paling efisien,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1368
Kongsi :
Previous post Mati di Penjara Kluang: Polis rakam percakapan 12 individu
Next post Ship and Sha’ir: Hamzah Fansuri’s House and Heart
Ubah saiz-+=