MATTA Fair Melaka 2023 sasar 20,000 pengunjung, nilai jualan RM15 juta

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 20 September – Penganjuran MATTA Fair Melaka 2023 di Dataran Pahlawan Megamall pada 6 hingga 8 Oktober ini dijangka mampu menarik seramai 20,000 pengunjung tempatan dan luar negeri Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, nilai jualan pakej pelancongan sepanjang tiga hari MATTA Fair Melaka 2023 berlangsung disasarkan mampu mencapai RM15 juta.

Abdul Razak berkata, penganjuran seumpama itu yang menawarkan pelbagai pakej dan potongan harga amat penting dalam usaha menarik kedatangan lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tidak lama lagi.

“MATTA Fair Melaka 2023 ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam, ini adalah antara acara tahunan bagi mempromosikan Negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul di rantau Asia.

“Pameran ini juga bakal memainkan peranan penting dalam mempromosi 14 subsektor pelancongan merangkumi pelancongan sejarah, budaya, rekreasi, sukan, membeli-belah, konvensyen, kesihatan, pendidikan, agro, makan-makan, Melaka: Rumah Ke-2, belia, ekopelancongan dan keagamaan.

“Dengan tawaran pakej pelancongan menarik, selain diskaun kita berharap mereka merancang untuk bercuti menggunakan peluang ini, jangan lepaskan peluang datang ke MATTA Fair 2023 dan memilih Melaka sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Akhbar Matta Fair Melaka 2023 di Bilik Mesyuarat Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka (Tourism Melaka) di Kota Cemerlang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron dan Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin.

Menurutnya, MATTA Fair Melaka 2023 merupakan antara platform terbaik dalam merealisasikan sasaran 15 juta hingga 18.7 juta pelancong ke Melaka sempena TMM2024.

Jelasnya penganjuran itu juga merupakan antara inisiatif dalam membudayakan percutian dalam negara, selain menyokong industri pelancongan domestik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1423
Kongsi :
Previous post Arca ‘Taman Botanikal’ rosak akibat dihempap dahan pokok
Next post Awas ‘scammer’ pakej pelancongan
Ubah saiz-+=