Awas ‘scammer’ pakej pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 20 September – Orang ramai khusus mereka sedang merancang percutian dinasihati agar berwaspada dengan penipuan jualan pakej pelancongan semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pelancong khususnya mereka bercadang menjadikan Negeri Melaka sebagai destinasi percutian, digalakkan untuk membeli pakej menerusi ejen sah bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Justeru, beliau menggalakkan pelancong untuk datang ke MATTA Fair Melaka 2023 pada 6 hingga 8 Oktober ini bagi membeli pakej sebenar dengan tawaran harga menarik.

“Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan kejadian pelancong ditipu ‘scammer’ membabitkan pakej pelancongan di Melaka, tetapi kita sangat berharap ia tidak berlaku di negeri ini.

“Adalah lebih baik untuk orang ramai membeli pakej sah seperti di MATTA Fair Melaka 2023 kerana apa yang ditawarkan itulah yang akan mereka dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Akhbar Matta Fair Melaka 2023 di Bilik Mesyuarat Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka (Tourism Melaka) di Kota Cemerlang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron dan Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin.

Menurut Abdul Razak, MATTA Fair Melaka 2023 yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Pahlawan Megamall itu bakal menampilkan 65 gerai jualan daripada 35 pempamer.

Katanya, kebanyakan pakej menarik yang dijual adalah pakej pelancongan Negeri Melaka membabitkan 14 subsektor pelancongan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1152
Kongsi :
Previous post MATTA Fair Melaka 2023 sasar 20,000 pengunjung, nilai jualan RM15 juta
Next post Pinda ‘buffer zone’ Empangan Durian Tunggal, benarkan petani sambung pajakan
Ubah saiz-+=