Pinda ‘buffer zone’ Empangan Durian Tunggal, benarkan petani sambung pajakan

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MACHAP JAYA 20 September – Pindaan zon penampan (buffer zone) sekitar Empangan Durian Tunggal melegakan kira-kira 1,000 petani sebelum ini tidak boleh menyambung aktiviti pertanian berhampiran kawasan tadahan air itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, satu dasar baharu dikeluarkan Kerajaan Negeri yang membenarkan semula tempoh tanah pajakan diteruskan dengan aktiviti pertanian di buffer zone membabitkan lingkungan 200 meter hingga 500 meter.

Katanya, sebelum ini permohonan bagi mana-mana tanah sudah habis tempoh pajakan dan berada dalam kawasan 500 meter tidak boleh disambung.

Jelasnya, perkara itu menyebabkan ramai pekebun kecil terkesan berikutan tidak dapat menyambung tempoh pajakan tanah yang diusahakan dengan aktiviti pertanian.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, dasar baharu itu membolehkan mereka berada dalam buffer zone 500 meter mengemukakan semula permohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah bagi meneruskan aktiviti pertanian yang mereka jalankan sebelum ini.

“Bagaimanapun kebenaran dibenarkan hanyalah untuk pertanian sedia ada dan bukannya menjalankan aktiviti penanaman semula, pembalakan atau pembangunan.

“Lokasi ini sebenarnya kawasan rizab yang sensitif kerana Kerajaan Negeri perlu meluaskan buffer zone sekeliling empangan. Ia bagi meningkatkan kapasiti empangan pada masa akan datang, namun disebabkan ada pekebun kecil terkesan Kerajaan Negeri terpaksa meminda semula perkara ini,” katanya.

“Difahamkan ada dalam kalangan pekebun ini yang mempunyai tunggakan pinjaman dengan baik,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di kawasan Tadahan Air Empangan Durian Tunggal di Masjid Lama Kampung Machap, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, buffer zone di empangan itu sebelum ini hanyalah 100 meter namun dinaikkan kepada 500 meter bagi tujuan meningkatkan kapasiti tadahan air.

Namun katanya, ia terpaksa dipinda kepada hanya 200 meter berikutan permasalahan dihadapi pekebun kecil di sekeliling empangan berkenaan.

“Jadi dari 100 meter kita hadkan sampai 200 meter sahaja dan mana-mana tanah pajakan yang berada bawah 200 meter tidak dibenarkan lagi mengemukakan permohonan melanjutkan tempoh pajakan. Permit itu sah hingga tarikh akhir tempoh pajakan sahaja, tanah dalam lingkungan itu diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri.

“Empangan ini membekalkan 60 peratus air bersih ke penempatan dan industri di Negeri Melaka, jadi usaha meningkatkan kapasiti air di empangan ini perlu dilaksanakan sebagai persediaan masa hadapan.

“Kerajaan Negeri perlu bersedia bagi menjamin bekalan air pada masa akan datang berikutan wujudnya banyak penempatan baharu dan pembangunan kawasan perindustrian seluas 2,023 hektar (5,000 ekar) di daerah Alor Gajah yang memerlukan bekalan air dalam jumlah mencukupi,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1055
Kongsi :
Previous post Awas ‘scammer’ pakej pelancongan
Next post Dua maut, lori langgar beberapa kenderaan di Putrajaya
Ubah saiz-+=