Mayat bayi tidak sempurna ditemui susulan penahanan pasangan kekasih

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

TELOK MAS 23 Jun – Mayat bayi lelaki tidak sempurna yang dipercayai berusia antara lima hingga tujuh bulan dalam kandungan ditemui di dalam lubang kumbahan di Kampung Kandang, di sini petang tadi.

Mayat berkenaan ditemui oleh anggota bomba yang menjalankan khidmat bantuan khas kira-kira jam 4 petang tadi susulan penahanan pasangan kekasih berusia 23 dan 25 tahun oleh polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pada awalnya pihaknya menerima laporan daripada pengurus sumber manusia sebuah kilang di Batu Berendam memaklumkan seorang pekerja wanita di kilang terbabit mengandung di luar nikah.

Beliau berkata, siasatan yang dilakukan mendapati suspek wanita berusia 23 tahun itu telah makan sejenis ubat yang dibeli menerusi laman sosial bagi menggugurkan kandungan berkenaan.

“Kesan  daripada pengambilan pil itu, suspek telah melahirkan bayinya di dalam tandas bilik sewanya di Taman Perkota, Bukit Baru. Suspek kemudian  menyerahkan mayat bayi itu kepada teman lelakinya berusia 25 tahun yang bekerja sebagai operator kilang di Ayer Keroh.

“Suspek lelaki itu dipercayai membuang mayat bayi tersebut dalam lubang kumbahan di belakang rumahnnya di Kampung Kandang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Nor Yhazid berkata pasangan kekasih itu akan direman esok bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Views:

611
Kongsi :
Previous post Penjawat awam Melaka perlu sokong aspirasi kerajaan semasa
Next post Amaran kepada peniaga ingkar SOP
Ubah saiz-+=