MBIO SIHAT: Saringan kanser percuma untuk orang Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Rakyat Melaka berusia 40 tahun ke atas dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menerima inisiatif MBIO SIHAT, iaitu program ujian darah untuk mengesan kanser secara percuma.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan berkata, program yang diselaraskan Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) itu merupakan inisiatif yang diumumkan Kerajaan Negeri pada pembentangan Bajet 2023 yang lalu.

Katanya, program itu yang bermula 20 Februari lalu dengan peruntukan berjumlah RM540,000 itu menyasarkan seramai 5,400 orang terawal.

“Melalui program ini, penerima lelaki akan disaring bagi kanser prostat dan kanser kolon, manakala penerima wanita akan disaring bagi kanser ovari dan kanser kolon.

“PBM selaku penyelaras telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagi mengadakan Program MBIO SIHAT di klinik-klinik kesihatan dan klinik-klinik komuniti yang sesuai di setiap daerah di Melaka bermula 20 Februari sehingga kini.

“PBM juga telah bekerjasama dengan JKM Negeri Melaka bagi membuat hebahan Program MBIO SIHAT kepada penerima-penerima bantuan Kerajaan Negeri Melaka melalui JKMNM bagi tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Fairul Nizam, rakyat Melaka yang layak menerima inisiatif berkenaan adalah diseru untuk merebut peluang yang diberikan Kerajaan Negeri itu.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pihak Perbadanan Bioteknologi Melaka di talian 010-5302600 / 06-2313622 atau emelkan ke [email protected].

“Orang ramai juga boleh berhubung dengan klinik kesihatan berhampiran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2017
Kongsi :
Previous post Tiga kritikal kereta rempuh gerai nasi lemak di Jitra
Next post SICC sistem pengurusan air pintar Melaka
Ubah saiz-+=