SICC sistem pengurusan air pintar Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Mei – Penubuhan Unit ‘Intelligent Command Centre’ (SICC) oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mampu membantu Kerajaan Negeri menguruskan sumber air dengan lebih cekap.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, SICC mempunyai kemampuan untuk menganalisa pelbagai data seperti kawalan air mentah dan agihan selain aduan berhubung gangguan bekalan.

Ab Rauf berkata, SICC juga membolehkan SAMB melakukan perancangan awal bagi mengelakkan gangguan bekalan boleh menjejaskan pengguna jika berlaku kebocoran atau kerosakan paip.

“Proses mengumpul dan menganalisa data secara menyeluruh menjadi lebih mudah dan dilakukan secara langsung. Data ini turut membabitkan ramalan cuaca bagi Negeri Melaka, paras air empangan, sungai, kualiti air mentah, pengeluaran dan agihan air terawat.

“Selain itu SICC juga memantau kehilangan air tidak berhasil (NRW) dan menguruskan aduan pengguna 24 jam sehari,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian SICC di Wisma SAMB di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin .

Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer bersama Timbalannya, Zahari Abd Khalil; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Abdul Rashid Abd Rahman.

20230519151921_IMG_3816-01

KETUA Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau kelengkapan pengurusan air pintar di SAMB Intellegent Command Centre (SICC). Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata, SICC beroperasi setiap hari sehingga jam 6 petang, manakala kawal selia untuk tempoh 24 pula dibantu aplikasi bagi memastikan setiap aduan dan aktiviti menganalisa data dioptimumkan.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, SICC akan memacu SAMB terus maju ke hadapan dengan menawarkan perkhidmatan lebih berkualiti kepada pengguna di negeri ini.

Abdul Rashid berkata, inisiatif itu seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri yang memberikan keutamaan kepada pendigitalan ke arah pengurusan air pintar di Melaka.

“SICC dibangunkan tahun lalu dengan kos RM3.2 juta, ini adalah antara usaha untuk memperkasakan lagi SAMB.

“kita akan menyelesaikan khususnya isu paip bocor dalam tempoh 24 jam seperti petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Alhamdulillah setakat hari ini kita mencapai tahap 99.5 peratus, menjalankan pembaikan 24 jam sehari. Jika tidak mampu dicapai atau diselesaikan dalam tempoh 24 jam, perkara itu akan dirujuk kepada SPAN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1472
Kongsi :
Previous post MBIO SIHAT: Saringan kanser percuma untuk orang Melaka
Next post Buruh didenda RM4,000 ugut bunuh rakan kerana tak kemas bilik
Ubah saiz-+=