MBMB menang anugerah Jean Paul L’ Allier Prize for Heritage

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 9 Sept – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memenangi anugerah khas ‘Jean Paul L’ Allier Prize for Heritage’ daripada Pertubuhan Bandar Warisan Dunia (OWHC).

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, anugerah itu sekali gus membuktikan Negeri Melaka masih kekal dalam senarai teratas sebagai Bandaraya Warisan Dunia (BWD).

“Kita MBMB bangga apabila sekali lagi dinobatkan johan dalam anugerah khas ini yang diadakan setiap dua tahun sekali oleh OWHC.

“Kejayaan ini berkait dengan projek yang telah dilaksanakan iaitu ‘Improvement and Conservation of Historical Urban Environment In The Historic City Of Melaka’. Turut mendapat anugerah ini adalah Bandar Georgetown, Penang.

ZAINAL bergambar bersama jemputan yang hadir

“Keutamaan memenangi anugerah ini adalah pertama sekali kerja mengindahkan serta menyediakan fasiliti di kawasan zon utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman anugerah tersebut secara atas talian di pejabat MBMB, di sini malam ini.

Katanya kemenangan itu kerana insiatif Melaka sendiri dalam usaha menambah baik serta memulihara bandar warisan.

“Pelbagai projek kita laksanakan sejak 2012 sehingga hari ini dengan memperuntukan sejumlah RM10.4 juta.

“Antara kawasan zon utama tapak warisan seperti di Jalan Hang Jebat, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Kampung Pantai, Jalan Kampung Hulu, Jalan Kuli, Jalan Tukang Emas, penunjuk arah pejalan kaki sepanjang Sungai Melaka dan banyak lagi.

“Tapi, apa yang menarik dalam penyertaan ini, kita pamerkan kepada OWHC untuk menilai kualiti Melaka dengan mengindahkan bangunan belakang atau ‘back lane’,” katanya.

ZAINAL semasa mendengar keputusan diumumkan oleh wakil OWHC.

Katanya sejak 2012, MBMB telah memfokuskan kepada kawasan zon utama untuk terus ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kita ada banyak segmen selama sembilan tahun ini, setiap tahun memang kita buat sesuatu yang baharu di kawasan zon utama,” katanya.

Untuk rekod anugerah itu disertai 11 bandar dunia iaitu Cidade Velha (Cape Verde), Cuenca (Ecuador), George Town ( Malaysia), Hue (Vietnam), Krakow (Poland), Kutna Hora (Republik Czech), Luxembourg, Melaka (Malaysia), (Bandaraya Mexico (Mexico), Queretaro (Mexico) dan Safranbolu (Turki).

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

910
Kongsi :
Previous post Khairy mahu MySejahtera selesai isu sijil vaksinasi digital dalam tempoh seminggu
Next post Pasukhas tubuhkan konsortium dengan Porto Three Sixty, Perbadanan Ketua Menteri Melaka
Ubah saiz-+=