MBMB tukar 1.5 tan barang kitar semula jadi duit

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Lebih 1.5 tan barang kitar semula berjaya dikutip dalam program Anda Kitar, Kami Bayar yang dianjurkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Masjid An Ni’Mah, Bukit Piatu, hari ini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, jumlah itu merangkumi 715 kilogram (kg) barangan 3R dan e-waste, 689kg sisa fabrik serta 112kg biodiesel atau minyak masak terpakai.

Menurutnya, kesemua barangan yang dikumpul itu akan diasingkan mengikut jenis dan dibayar mengikut kategori.

Jelasnya, bayaran yang ditetapkan ialah RM0.10 hingga RM2.00 per kg bagi barangan 3R dan sisa e-waste, RM1.80 per kg bagi biodiesel dan RM0.10 per kg bagi sisa fabrik.

Katanya, daripada kesemua barangan kitar semula yang dikumpulkan itu, nilai belian yang direkodkan ialah sebanyak RM642.40.

ANTARA barangan kitar semula yang dikumpul dan dibeli oleh MBMB dalam Program Anda Kitar, Kami Bayar.

Ia merangkumi RM216 untuk belian semula biodiesel, RM68.90 belian semula sisa fabrik dan RM357.50 belian semula barangan 3R dan e-waste.

“MBMB ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada agensi yang bekerjasama untuk menjayakan program ini antaranya SWCorp, Kolej Profesional MARA, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Kloth Cares, serta semua warga bandaraya yang telah turut serta dan menyokong program ini.

“Teruskan menyayangi alam sekitar kita dan jom amalkan hijau!,” katanya dalam satu kenyataan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1073
Kongsi :
Previous post Peralihan monsun: ATM rancang strategi di kawasan terjejas
Next post Masjid tunai janji, anak-anak istiqamah solat Subuh berjemaah dapat basikal
Ubah saiz-+=