MCCCI perlu bergerak seiring tarik pelabur ke Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 24 Jun – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Melaka (MCCCI) perlu bergerak seiring bersama kerajaan negeri bagi menarik lebih banyak pelaburan asing mahupun domestik ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pertubuhan yang berusia lebih 110 tahun itu mampu menjadi perantara bagi menjana transaksi komersial di antara ahli perniagaan tempatan dan ahli perniagaan luar negara.

“Walaupun tahun 2021 telah memberikan cabaran ekonomi yang unik, Melaka kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini serta mampu untuk mencapai pemulihan yang lebih pantas pasca pandemik COVID-19.

“Ekosistem perniagaan Malaysia yang kukuh telah meletakkan negara ini pada unjuran yang positif dalam menarik pelaburan strategik dan mewujudkan jalinan perdagangan baharu bagi terus memacu ekonomi negara serta mempercepatkan usaha ke arah pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif.

“Saya amat yakin bahawa MCCCI dan ahli-ahlinya boleh membantu Kerajaan Negeri dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing mahupun domestik ke Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ucapannya merasmikan Bangunan Baharu Wisma MCCCI di Melaka Raya, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong, EXCO Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem dan Presiden MCCCI, Datuk Siow Dek Kuen.

Dalam pada itu, beliau berkata, Dewan Perniagaan Melayu Melaka (DPMM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Melaka perlu mencontohi MCCCI malah perlu bergerak seiring dalam memperkasa ekonomi negeri ini.

“Saya amat bangga dengan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh MCCCI dan pastinya, Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan kerjasama yang sebaiknya kepada MCCCI dalam usahanya bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan semula ekonomi negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Sulaiman merasmikan bangunan baharu MCCCI yang telah siap dibina tahun ini setelah kerja-kerja menaik taraf dilakukan pada Mac 2020.

Bangunan sedia ada sejak 1980 telah menjalani baik pulih pada 2005 kemudian dinaik taraf sekali lagi pada 2020 dengan menelan peruntukan RM2.5 juta bagi memberi perkhidmatan pengurusan perniagaan yang canggih dan berkualiti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post Banjir kilat berulang, penternak lembu korban alami kerugian besar
Next post PM umum tarif elektrik, air di Semenanjung kekal, harga ayam tidak diapung
Ubah saiz-+=