MEDAC peruntuk RM452.8 juta bantu usahawan melalui pelan pemulihan

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Mei  — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan memperuntukkan RM452.8 juta bagi membantu usahawan terjejas melalui pelan pemulihan operasi perniagaan bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan.

Peruntukan tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 21,847 penerima merangkumi usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana, usahawan sosial, pemula niaga dan koperasi.

Dalam kenyataan hari ini, menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata MEDAC telah  membentangkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Mei lepas.

“Pelan Pemulihan itu menggariskan enam strategi utama bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan usahawan dalam tempoh segera dan memastikan usahawan kekal berdaya saing dan mampan.

“Ia mengandungi 30 program yang akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka masa pendek bermula Mei hingga Disember 2020 dan jangka masa sederhana bermula Januari 2021 hingga Mei 2021,” jelas beliau.

Wan Junaidi berkata bagi fasa pertama, sejumlah RM230.1 juta peruntukan diperlukan di mana RM175.79 juta adalah bagi melaksanakan enam program baharu dan 10 program sedia ada yang akan menggunakan peruntukan sedia ada MEDAC dan agensi-agensinya.

Menurut beliau, sejumlah RM54.31 juta peruntukan tambahan diperlukan bagi melaksanakan 14 program baharu.

Bagi fasa kedua, sejumlah RM222.69 juta peruntukan diperlukan merangkumi 19 program baharu dan 11 program sedia ada,kata beliau.

Wan Junaidi berkata permohonan peruntukan itu telah dikemukakan oleh MEDAC dan agensi-agensi di bawahnya kepada Unit Perancang Ekonomi melalui permohonan peruntukan di bawah tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya, MEDAC juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dalam pembangunan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19.

“MEDAC merupakan ahli dalam Kumpulan Kerja ‘SME Recovery Support’ dengan tumpuan kepada strategi dan inisiatif jangka pendek dan sederhana bagi memulihkan usahawan yang terjejas dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pada 8 Mei, 2020 MEDAC telah mengemukakan cadangan program keusahawanan Pelan Restart dengan jumlah peruntukan sebanyak RM261.21 juta.

“Inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan bagi memastikan rakyat khususnya golongan usahawan sentiasa mendapat sokongan daripada MEDAC supaya urusan perniagaan mereka dapat beroperasi seperti biasa ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan di seluruh negara,”katanya.

— BERNAMA

Views:

356
Kongsi :
Previous post COVID-19: Adakah Anda Yakin Suhu Badan Disaring Betul?
Next post Simptom serangan jantung pada wanita ‘lemah’, sukar dikesan – Pakar
Ubah saiz-+=