Medan rakyat luah isu di Hang Tuah Jaya- Adam Adli

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BUKIT BARU 5 Mac – Isu perparitan, kebajikan warga emas, kesesakan lali lintas dan parkir antara perkara yang dibangkitkan oleh penduduk pada Hari Bertemu Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya diadakan di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya di Pusat Perniagaan Putra Sentosa, Bukit Baru, di sini, semalam.

Ahli Parlimennya, Adam Adli Abdul Halim berkata kesemua isu, aduan dan cadangan yang diketengahkan penduduk akan diangkat serta dibincangkan bersama pihak berkaitan untuk mencari penyelesaian.

“Hari Bertemu Rakyat di Parlimen Hang Tuah Jaya ini merupakan medan bagi masyarakat mendekati pemimpin seterusnya meluahkan segala permasalahan yang dihadapi.

“Seperti hari ini (semalam), pelbagai isu diketengahkan, daripada isu parkir di Premis Perniagaan Bukit Beruang, perparitan di Taman Bukit Katil Kenari, isu trafik di Bukit Katil Damai dan pelbagai lagi.

“Kita peruntukan masa dua jam untuk sesi soal jawab, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee juga hadir bagi menjawab isu melibatkan mereka,” katanya.

WhatsApp Image 2023-03-04 at 8.33.22 PM
ANTARA penduduk dalam Parlimen Hang Tuah Jaya yang hadir pada Program Hari Bertemu Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Bertemu Rakyat Townhall Session di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya yang dihadiri hampir 30 penduduk.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, program seumpama itu akan diadakan setiap bulan dengan melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan persatuan penduduk dalam usaha berterusan mencari penyelesaian rakyat.

Tambahnya, tingkat dua dan tingkat tiga bangunan Pusat Khidmat Rakyat itu juga boleh digunakan untuk aktiviti masyarakat Parlimen Hang Tuah Jaya.

“Bangunan ini baharu, setakat ini hanya tingkat bawah sahaja digunakan dan jika ada penduduk mahu menggunakannya maklum pada kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1293
Kongsi :
Previous post Anugerah Pengarah, hadiah buat ibu dan ayah
Next post MBMB lulus tujuh bazar Aidilfitri, 27 bazar Ramadan tahun ini
Ubah saiz-+=