Media perlu tingkat hebahan patuh SOP – Annuar Musa

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 14 Nov-  Semua media disaran untuk meningkatkan hebahan mengenai kesedaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mengekang lonjakan kes COVID-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata ia berikutan beliau melihat pematuhan agak longgar ketika membuat lawatan di lapangan.

Tegasnya, pematuhan SOP itu perlu sentiasa diingatkan bagi mengelak apa yang berlaku di PRN Sabah berulang lagi.

“Saya buat lawatan di lapangan, banyak pematuhan agak longgar, tiada penjarakan, jadi saya harap media dapat membawa kesedaran kepada orang awam dengan kerap supaya tidak berlaku lonjakan kes tinggi pasca PRN.

“Kita dah lalui pengalaman di PRN Sabah, jadi saya harap media dapat membantu meningkatkan kelancaran proses perjalanan PRN dan membantu untuk ‘highlightkan’ pematuhan SOP.

“Kita baru separuh jalan berkempen dan belum terlambat untuk baiki kaedah dan cara di PRN Melaka bagi memberi keyakinan untuk PRN di Sarawak nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian  dalam sidang media selepas membuat lawatan di Pusat Media Jabatan Penerangan, di Hotel Kobemas, hari ini.

ANNUAR beramah mesra dengan petugas media di Pusat Media Jabatan Penerangan di Hotel Kobemas

Mengulas lanjut, Annuar berkata Pusat Media di PRN Melaka itu sudah lengkap namun masih ada ruang untuk dibaiki.

Jelasnya, pusat media itu juga sepatutnya digunakan oleh calon yang kurang medium ekoran kekangan SOP semasa tempoh berkempen.

“Saya rasa ada ruang yang boleh dibaiki pada masa akan datang di Pusat Media, dalam masa yang sama, media-media perlu beri ruang ruang sama rata kepada calon untuk hidupkan demokrasi pilihan raya.
“Atas dasar itu pemaparan data-data serta imej calon-calon perlu dipertingkatkan di peringkat nasional termasuk calon bebas.

“Sebab pengalaman di PRN Melaka ini akan digunapakai di PRN Sarawak serta diharap akan ada penambahbaikan, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post BN Lendu progresif tawan hati pengundi kelabu
Next post Melaka negeri keutamaan bagi perkhidmatan 5G – Annuar
Ubah saiz-+=