WhatsApp Image 2021-11-14 at 4.22.52 PM (1)

Melaka negeri keutamaan bagi perkhidmatan 5G – Annuar

MELAKA 14 Nov – Melaka akan diberikan keutamaan bagi perkhidmatan 5G memandangkan negeri berkenaan adalah negeri pelancongan serta mempunyai banyak pelabur luar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata sebelum perkhidmatan 5G dilancarkan, Melaka terlebih dahulu akan diperkasakan dan dilengkapkan dengan perkhidmatan 4G menerusi program ‘Point of Presence (PoP) Fibersation’ yang diberikan keutamaan yang tinggi.

“Saya fikir Melaka harus menjadi kawasan keutamaan pertama dari segi melengkapkan 4G di Melaka, program ‘PoP Fibersation’ mesti diberikan keutamaan yang tinggi dan pada masa ini di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) seluruh Melaka kena tambah 35 lagi menara.

“Sekiranya ada di kawasan tertentu yang memerlukan menara tambahan saya akan berikan keutamaan kerana Melaka adalah negeri pelancongan, negeri yang banyak pelabur luar yang melabur di kilang-kilang dan perusahaan.

“…di Melaka juga ada kemudahan prasarana termasuk pelabuhan dan juga lapangan terbang…ini bermakna Melaka memerlukan 5G,” katanya di sini hari ini.

Annuar berkata bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna, ‘PoP Fibersation’ bagi sekolah dan industri serta lima kilometer di sekitarnya juga diharap dapat dipercepatkan pelaksanaan penukaran daripada sistem ‘copper’ kepada sistem fiber optik.

Bagi meningkatkan perkhidmatan capaian internet di Melaka ketika ini, beliau yang mengadakan lawatan secara rawak di beberapa tempat, sebelum ini telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi (telco) untuk memasang ‘booster’ di banyak lokasi susulan penggunaan semasa yang tinggi.

“Jadi kita perlu melihat kepada penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Untuk jangka pendek saya minta kerjasama SKMM dan telco untuk memasang ‘booster’ seberapa banyak di Melaka sebab calon-calon semua bergantung kepada kempen secara dalam talian.

“Dan untuk memudahkan itu, saya harap dapat kerjasama dari semua telco dan juga SKMM memasang ‘booster’ di seberapa banyak tempat supaya kualiti internet dapat ditingkatkan,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

60
Annuar Musa Previous post Media perlu tingkat hebahan patuh SOP – Annuar Musa
WhatsApp Image 2021-11-14 at 4.24.03 PM Next post KKMM sedia tambah baik perkhidmatan pusat media untuk kemudahan petugas, calon