Mekanik rugi ditipu ‘polis’

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

MERLIMAU 11 Dis. – Seorang mekanik berusia 58 tahun mengalami kerugian RM1,500 selepas ditipu dua individu menyamar sebagai pegawai polis di Serkam Pantai, di sini, baru-baru ini.

Kerugian itu berlaku apabila mangsa didekati dua lelaki mendakwa kenderaan miliknya yang dipinjam seorang lelaki terlibat dalam kes rompak kedai judi atas talian dan mencederakan orang.

Mangsa kemudiannya dibawa menaiki sebuah kenderaan dan diminta membayar wang berjumlah RM2,000 untuk menutup kes berkenaan dan pengadu telah membayar wang berjumlah RM700 dan RM800 di dua lokasi berbeza.

PROTON Waja yang dirampas dan dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, pengadu bagaimanapun tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut dan telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya memberkas dua lelaki berkenaan di alamat Perigi Hang Tuah, Kampung Duyong dan menemui wang tunai berjumlah RM800 yang dipercayai diterima daripada mangsa.

“Pihak polis telah merampas sebuah kereta Proton Waja dan wang tunai berjumlah RM800 yang disyaki wang yang diterima daripada mangsa.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek turut mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan narkotik.

“Soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes pemerasan dan mengaku sebagai penjawat awam,” katanya.

Mispani berkata, kedua-dua suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini hingga 15 Disember.

Views:

669
Kongsi :
Previous post Melaka akan berbincang teruskan bekalan air bersih Negeri Sembilan
Next post Operasi bas singgah-singgah dijangka bermula Januari 2021 – Exco
Ubah saiz-+=