Operasi bas singgah-singgah dijangka bermula Januari 2021 – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 11 Dis. – Syarikat pengendali perkhidmatan bas henti-henti negeri, Panorama Melaka (Panorama) akan menjalin usahasama bersama syarikat swasta di ibu negara untuk memperkenalkan bas bercirikan pelancongan yang dinamakan bas singgah-singgah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata, perkara itu bakal dimuktamadkan selepas syarikat pengangkutan awam negeri itu bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat swasta yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu pada minggu hadapan.

Katanya, pelaksanaan bas itu turut dibincangkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis kerana ia membabitkan portfolio pelancongan.

“Ini bas yang pertama kita akan lancarkan menjelang tahun hadapan, manakala operasi bas akan dimulakan selewat-lewatnya pada Januari ini dan jika tiada aral kita akan menandatangani MoU dengan syarikat usahasama Panorama di Langkawi minggu hadapan.

“Selepas itu dari segi pelaksanaan akan dimulakan pada awal tahun hadapan yang mana bas ini akan menggunakan elektrik sepenuhnya dengan kemudahan WI-Fi di dalamnya serta bercirikan santai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, DUN Melaka Yang Ke-14 di Kompleks Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, berdasarkan perancangan awal, bas singgah-singgah itu akan melalui beberapa pusat hentian (pit stop) sekitar kawasan hab pelancongan di Bandar Melaka.

Menurutnya, bagi peringkat permulaan, sebanyak dua hingga tiga bas disediakan dengan dilengkapi dengan dua komponen iaitu ruang berhawa dingin dan ciri terbuka di bahagian dinding yang terletak di bahagian belakang bas.

“Dijangkakan, ‘check-point’ bas itu akan bermula di Melaka Sentral dan ia akan melalui sembilan ke 14 ‘pit stop’ termasuk Zoo Melaka dan beberapa tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sehingga ke Klebang.

“Ia akan menggunakan kad prabayar yang boleh ditambah nilai di semua pit stop dan untuk permulaan kita akan menyediakan dua hingga tiga unit bas, sekiranya perkhidmatan bas itu diterima baik, kita akan tambah mengikut keperluan,” katanya.

Views:

356
Kongsi :
Previous post Mekanik rugi ditipu ‘polis’
Next post ‘Perlu segerakan peruntukan rakyat dalam Belanjawan Melaka 2021’ – KM
Ubah saiz-+=