Melaka ada peluang beralih Fasa 2 PPN bulan depan – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER MOLEK 21 Julai – Kerajaan negeri telah mencapai satu indikator untuk beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilihat berpeluang dicapai bulan depan.

Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman berkata, indikator yang dicapai itu meliputi suntikan vaksin COVID-19 sebanyak 10 peratus bagi kedua-dua dos di negeri ini.

Menurutnya, bagaimanapun dua indikator lagi belum dicapai bagi kadar jangkitan harian sebanyak 114 kes dan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di bawah 70 peratus.

“Indikator pertama kita dah capai, indikator ketiga kadar penggunaan katil harian pula akan menurun sebab kita ada pertambahan katil harian daripada wad ICU Hibrid.

“Kita boleh menurunkan kes-kes ICU, cuma yang menjadi kebimbangan kita adalah jangkitan harian,” katanya.

RAHMAD (kiri) menyerahkan katil kepada penerima di Rumah Awam Ayer Molek, Melaka. Foto: MR. Azli

Beliau berkata demikian kepada MHI sempena Sehari Bersama Datuk Rahman Mariman di Japerun Ayer Molek hari ini.

Jelas Rahmad setakat ini jangkitan harian dalam kalangan tahanan penjara atau Imigresen tidak diambil kira bagi peralihan fasa 2 tersebut.

“Tetapi masih ada kes jangkitan dalam kalangan komuniti dan sektor industri  itu yang kita sedang pergiatkan.

“Sebab itu kita lakukan ‘mass screening’ di kawasan industri yang kita beri tumpuan seperti di Ayer Keroh hingga mencecah 800 kes.

“Kita boleh menurun bergantung kepada angka nilai ambang, ada negeri yang beralih ke fasa 2, kesnya naik semula tapi negeri itu tidak akan beralih semula kepada fasa 1,” katanya.

Untuk rekod lapan negeri telah beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

537
Kongsi :
Previous post AEON Bandaraya Melaka kembali beroperasi
Next post Jangkitan kontak keluarga sukar dikawal – Rahmad
Ubah saiz-+=