Melaka ada terumbu karang tercantik dunia

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TELOK MAS 6 Januari – Tiga pulau di perairan Taman Laut Melaka mempunyai spesies ‘coral’ atau terumbu karang tercantik di dunia.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, terumbu karang itu terletak di perairan Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol yang juga telah diwartakan sebagai Taman Laut Melaka.

“Paling penting kita nak beritahu bahawa kita sudah buat kajian yang mana ‘coral’ di Taman laut Negeri melaka ini adalah antara tercantik di dalam dunia.

“Jika sebelum ini pengunjung datang Melaka hanya melawat bangunan bersejarah, kini destinasi mereka boleh bertukar ke arah pelancongan di pulau-pulau dan melakukan aktiviti rekreasi air.

“Justeru hari ini kita membuat pelepasan sebanyak 30 ekor ikan hiasan seperti ikan dori ke laut sebagai galakan dan penyeri kepada taman laut ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Voluntourism: Melaka Nature Epic Challenge (MNEC24) Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Taman Laut Melaka, Pulau Undan, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Nawar Abd Karim; Pengurus Besar Bahagian Pelancongan Melaka (BPP), Sa’ari Basiron; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPPM), Azhar Yaacob dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal berkata, bermula Mei sehingga Disember tahun lalu, seramai 1,600 pelancong direkodkan mengunjungi ketiga-tiga pulau berkenaan.

“Sebagai permulaan ini adalah satu jumlah yang memberangsangkan, Insya-Allah selepas ini lebih ramai pelancong yang akan datang ke Melaka sepanjang TMM2024.

“Pelancong yang ingin mencuba aktiviti air ini mereka dikenakan bayaran RM49 seorang bagi aktiviti ‘island hopping’, RM59 seorang untuk snorkeling, manakala bagi kedua-dua aktiviti ini hanya RM890 untuk setiap bot (termasuk pakej menaiki bot ke pulau),” katanya.

Program itu disertai seramai 50 sukarelawan terdiri daripada Persatuan EcoDistrict (EDA), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Generasi Peduli Sampah (GPS), Kelab Dive Bomba Putrajaya dan Pengakap Kelana Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6385
Kongsi :
Previous post Bidang kewartawanan perlu seiring arus kemodenan – KM
Next post Kongsi foto keunikan Taman Laut Melaka, boleh menang baucar RM500
Ubah saiz-+=