Melaka Agrofest buat pengunjung rambang mata

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Kepelbagaian produk jualan yang terdapat di Melaka Agrofest 2023 bukan sahaja memberi pilihan kepada pengunjung malah menjadikan mereka rambang mata untuk membeli.

Tinjauan Melaka Hari Ini di sekitar tapak penganjuran mendapati hampir di setiap gerai  termasuk menjual produk makanan, tanaman dan gerai pameran dipenuhi pengunjung.

Pengunjung Zamri Mat Isa, 63, dari Machap Umboo berkata, penganjuran Melaka Agrofest dilihat memberi peluang kepada pengguna untuk membuat pilihan selain membantu penjualan produk keluaran Bumiputera.

“Selain dengan pilihan barangan jualan yang banyak, pameran lembu sado juga menarik minat kerana ini pertama kali saya melihat haiwan itu secara fizikal.

“Walaupun tidak berbelanja banyak tetapi saya lihat harga di sini berpatutan maksudnya tidak terlalu mahal dan tidaklah terlalu murah.

“Niat asalnya datang ingin merasa durian tetapi harganya RM25 sekilogram jadi kami batalkan niatnya namun begitu paling penting menerusi program ini kita dapat membantu produk dihasilkan bumiputera,” katanya ketika ditemui di Dataran Sejarah Ayer Keroh, hari ini.

IMG_8662
Pengunjung, Zamri Mat Isa, 63, dari Machap Umboo. Foto: MR. AZLI

Menurut warga emas itu, penganjuran program jualan itu itu diharap dapat dianjurkan selalu kerana bukan sahaja dapat memberi peluang kepada peniaga malah membantu penduduk setempat.

Bagi pengunjung Normalia Majid, 44, berkata, dengan kepelbagaian barangan jualan baik daripada pertanian dan produk makanan membuatkannya rambang mata.

“Memang tidak rugi datang ke sini kerana, pelbagai barangan ditawarkan baik daripada produk makanan seperti kerepek, pes masakan, sambal dan juga ada anak pokok buah-buahan.

“Malah di sini juga ada banyak produk pengeluaran bumiputera yang sebelum ini kita jarang jumpa dan dijual dengan harga berpatutan,” katanya yang tinggal di Gadek.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1815
Kongsi :
Previous post Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki di Ipoh
Next post Peniaga lega, jualan ‘laku keras’
Ubah saiz-+=