Peniaga lega, jualan ‘laku keras’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Penganjuran Melaka Agrofest 2023 membuka ruang kepada peniaga dalam memasarkan produk jualan secara terus sekali gus membantu meningkatkan pendapatan.

Peniaga Mohd Farhan Azwan Mohd Azlan berkata, menerusi penganjuran seperti ini peniaga mahupun penternak serta petani dapat memperkenalkan serta menjual keluaran mereka secara terus kepada pelanggan.

Katanya, meskipun media sosial kini menjadi antara platform utama untuk memasarkan keluaran yang diusahakan tetapi jualan secara terus menerusi program jualan juga dapat membantu meningkatkan pendapatan.

“Dengan program seperti ini peniaga dan berjumpa terus dengan pengguna atau pembeli malah harga yang ditawarkan juga agak istimewa berbanding hari biasa, ini membantu merancakkan lagi jualan.

“Untuk tahun ini, Melaka Agrofest adalah program terbesar dan Alhamdulillah mendapat sambutan menggalakkan apabila sejak Jumaat sentiasa dipenuhi pengunjung,” ketika ditemui di Dataran Sejarah Ayer Keroh, hari ini.

Menurut pengasas bersama produk Cikgu Ana itu, kemeriahan program juga dapat dilihat apabila kawasan parkir kenderaan penuh sehinggakan pengunjung terpaksa berjalan jauh.

“Dengan kehadiran pengunjung yang ramai, jualan juga boleh dikatakan memberangsangkan apabila dapat mencapai sasaran dan ini dibantu dengan tarikh penganjuran yang dibuat ketika tempoh (menerima) gaji,” katanya.

IMG_8666
Pengunjung yang hadir ke gerai jualan Agro Madani pada Melaka AgroFest 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, bagi pempamer kraftangan Muna Abdul Kadir berkata, sambutan orang Melaka terhadap pameran kraftangan luar biasa apabila gerainya sentiasa dikunjungi.

“Boleh dikatakan ada sahaja yang singgah untuk melihat hasil kraftangan yang dibuat, apa yang menarik bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak juga turut ingin mencuba.

“Ini juga mungkin disebabkan mereka jarang atau tidak pernah berjumpa bagaimana benang boleh dihasilkan daripada daun nanas serta dibuat sebagai hiasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1063
Kongsi :
Previous post Melaka Agrofest buat pengunjung rambang mata
Next post Anjur pertandingan skala besar, Tentera Darat sedia jalin kerjasama
Ubah saiz-+=