Anjur pertandingan skala besar, Tentera Darat sedia jalin kerjasama

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH Jun 25 – Tentera Darat bersedia menjalinkan kerjasama bersama agensi lain dalam menganjurkan pertandingan Battle Of The Bands Tentera Darat pada masa akan datang.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, sepanjang empat siri pertandingan itu diadakan ia dilakukan secara sederhana memandangkan peruntukan terhad.

Beliau berkata, sekiranya ingin mengadakan dalam skala yang besar ia memerlukan perbelanjaan yang besar serta perlu mendapat sokongan agensi lain.

“Kita tiada kemampuan untuk besarkan skala penganjuran kerana apa yang kita buat perlukan kewangan selain peruntukan kita amat terhad.

“Seperti penganjuran kali ini, kita dapat bantuan agensi lain jadi kekurangan itu dapat ditampung mereka, begitulah cara kita untuk atasi masalah kewangan ini.

“Battle Of The Bands boleh dibuat (skala besar) tetapi ia memerlukan dana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertandingan akhir Battle Of The Bands Tentera Darat 2023, di Dataran Sejarah Ayer Keroh, malam tadi.

IMG_8667Menurut beliau, penganjuran pertandingan itu adalah medan untuk warga Tentera Darat mempamer dan mengetengahkan bakat seni yang ada.

“Dalam kita laksanakan tugas, ini adalah ruang untuk anggota bersosial kerana selain memantapkan fizikal dan mental , penting juga bagi mereka untuk meningkatkan tahap moral.

“Kalau tengokkan hadiah memang tidak banyak namun begitu ia cukup mengembirakan (dan) ini dapat dilihat apabila ada yang mengeluarkan air mata ketika diumumkan sebagai pemenang.

“Kerana bagi mereka hadiah bukan perkara penting tetapi bakat mereka berjaya diketengahkan,” katanya.

Terdahulu pada pertandingan akhir itu, Kombo Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dinobatkan sebagai johan bagi kategori Jabatan Arah/Kor manakala kumpulan D’Parawood dari 10 Briged (Para) pula dinobatkan sebagai johan bagi kategori formasi serta masing-masing membawa pulang hadiah berjumlah RM3,000 bersama piala pusingan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post Peniaga lega, jualan ‘laku keras’
Next post 33 usahawan DMDI terima Anugerah Smart Partnership Usahawan IKS
Ubah saiz-+=