
MELAKA BAKAL JADI DESTINASI MESRA PELANCONG ANTARABANGSA
AYER KEROH 3 Mei – Sektor pelancongan Melaka akan lebih dikenali dan mudah diakses pelancong antarabangsa menerusi jalinan kerjasama di antara Malaysia dengan VFS Global.
VFS Global merupakan syarikat yang berpangkalan di lebih 150 negara dengan 69 kerajaan klien dengan pengalaman 23 tahun dalam pemprosesan visa serta promosi pelancongan.
Kerjasama itu terjalin menerusi satu pertemuan bersama pengurusan tertinggi syarikat itu yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta wakil-wakil kanan Tourism Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Turut bersama dalam pertemuan itu adalah delegasi Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Abdul Razak dalam satu hantaran di laman Facebook beliau memaklumkan, menerusi pertemuan itu, beberapa cadangan kerjasama strategik telah dikemukakan khususnya melibatkan bidang eVisa, promosi digital, pelancongan perubatan dan ‘wellness tourism’.
Menurut beliau, bagi Negeri Melaka, kerjasama itu amat signifikan dalam memperluaskan capaian promosi antarabangsa, selain memudahkan kemasukan pelancong ke negeri ini, khususnya dari pasaran India, China, Timur Tengah dan Eropah.
“Dengan sokongan teknologi VFS, kempen pelancongan Melaka seperti Tahun Melawat Melaka (TMM) dan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 akan dapat dipromosikan dengan lebih meluas menerusi rangkaian pusat permohonan visa dan pelantar digital VFS di seluruh dunia.
“Antara fokus utama perbincangan termasuklah, penglibatan VFS sebagai rakan promosi pelancongan dan kebudayaan Malaysia dan Melaka dan pelaksanaan pelancongan perubatan serta ‘wellness tourism’ melalui pusat saringan kesihatan di Dubai.
“Selain itu, kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada penyelarasan teknologi biometrik dan eVisa yang mesra pelancong serta pemasaran destinasi pelancongan Malaysia dan Melaka secara menyeluruh dan bersasar,” katanya.
Menurut Abdul Razak, dalam pertemuan itu juga beliau turut mempromosikan Melaka sebagai bandar warisan dunia UNESCO yang mempunyai pelbagai aset budaya, sejarah dan produk pelancongan unik yang berpotensi tinggi untuk dipromosi ke pasaran luar melalui kepakaran serta jaringan VFS Global.
“Kerjasama ini diharap akan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai pintu masuk utama pelancongan ke Malaysia dan menyokong aspirasi pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026),” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.