MELAKA BAKAL PERKENAL IKON BAZAR RAMADAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 4 November – Sebuah bazar Ramadan baharu bakal diwujudkan di Melaka tahun depan, sekali gus bakal menjadi satu lagi daya tarikan kepada pengunjung dan pelancong ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bazar tersebut dirancang akan dibangunkan di sepanjang laluan Tugu Peringatan Kemerdekaan sehingga ke tapak bangunan lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir.

Apabila dibangunkan kelak, beliau berkata, kawasan itu bakal menjadi ikon bazar Ramadan di negara ini.

“Selain itu, pada tahun depan juga, kita akan membuat penambahbaikan kawasan Car Free Zone di Banda Hilir dengan memberikan satu suntikan baharu memandangkan kawasan ini telah membawa limpahan ekonomi hasil kebanjiran pelancong ke Melaka.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan menaik taraf kualiti sistem jalan raya menuju ke kawasan segi tiga emas pelancongan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Pentadbiran Baharu Melaka Taming Sari Berhad di Plaza Mahkota, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MTSB; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MTSB Datuk VP Shanmugam; Ketua Pegawai Eksekutif MTSB Nasrul Ahmad serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, memandangkan tahun hadapan Melaka telah diberi kepercayaan menjadi tuan rumah penganjuran World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference
(WTC), Kerajaan Negeri sedang merencana dan memperhalusi segala persediaan awal bagi menganjurkan sebuah acara bertaraf dunia ini termasuklah menitik beratkan aspek pengangkutan awam yang lebih efisien.

“Besar harapan saya agar Melaka Taming Sari turut memain peranan yang signifikan untuk sama-sama menjayakan segala inisiatif Kerajaan Negeri.

“Sama-samalah kita mengembleng tenaga dalam mempromosi negeri Melaka untuk terus menjadi destinasi utama pilihan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3210
Kongsi :
Previous post PEMBINAAN MICT PERLU DISEGERAKAN
Next post MICT DIJANGKA BEROPERASI JUN 2025
Ubah saiz-+=