Melaka bakal wujudkan ‘feeder transport’ di 3 zon

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PENGKALAN BATU 13 Julai – Kerajaan Negeri sedang dalam perancangan mewujudkan perkhidmatan pengangkutan pengantara (feeder transport) di beberapa lokasi tumpuan sekitar negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, sebagai permulaan tiga zon bakal dikaji untuk dijadikan projek rintis ‘feeder transport’ itu.

Jelasnya, tiga zon berkenaan ialah Bandaraya Melaka-Banda Hilir, Ayer Keroh dan Padang Sebang.

“Feeder transport ini ialah perkhidmatan van atau bas mini yang mana ia disediakan untuk membantu pelancong atau orang ramai berada di lokasi jauh dari jalan utama mempunyai jaringan pengangkutan awam.

“Jadi, kita pilih tiga lokasi ini kerana ketiga-tiganya merupakan antara pintu masuk pelancong ke Melaka. Contoh Pulau Sebang berada di kawasan hentian kereta api, Ayer Keroh berhampiran dengan lapangan terbang, manakala Banda Hilir pula merupakan pintu masuk jalan laut menerusi perkhidmatan feri.

“Saya meminta kajian dijalankan selama sebulan dan jika tiada masalah pada Ogos saya akan bentangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Terminal Bas Melaka Sentral, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Zahari Abd Kalil dan Pengurus Besar Panorama Melaka Rohazam Abu Bakar.

Pada lawatan tersebut, Hameed turut menyempurnakan simbolik pemasangan pelekat Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada bas Panorama Melaka dan Bas Singah-Singgah.

Jelasnya, pemasangan pelekat itu bertujuan mempromosikan kepada pelancong yang menaiki pengangkutan awam itu, selain menyemarakkan sambutan.

“Saya juga ada berbincang dengan Panorama Melaka supaya pelekat ini bukan hanya dipasang pada bas domestik sahaja, bahkan ia juga perlu membabitkan bas ekspres dan perkhidmatan teksi di Terminal Melaka Sentral,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1331
Kongsi :
Previous post TMM2024: Melaka Sentral sedia sambut pelancong
Next post STPM 2022: Wei Nee ‘top 20’ dalam Malaysia
Ubah saiz-+=