STPM 2022: Wei Nee ‘top 20’ dalam Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PENGKALAN BATU 13 Julai – Seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 berjaya mengharumkan nama Negeri Melaka apabila tersenarai sebagai 20 pelajar paling cemerlang di Malaysia.

Gee Wei Nee, pelajar Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tun Fatimah berjaya memperoleh Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dengan keputusan cemerlang semua mata pelajaran.

Menurut Wei Nee, dia sama sekali tidak menyangka mampu mencapai tahap tersebut dan bergelar calon terbaik Negeri Melaka.

Namun, dia menyifatkan kejayaan itu sebagai titik permulaannya untuk meneroka bidang bioteknologi, seterusnya mengangkat martabat bidang tersebut dalam negara.

“Semasa semester pertama ia merupakan satu tekanan buat saya sebab saya sukar untuk memperoleh keputusan terbaik dalam setiap pelajaran kerana ia tidak sama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Namun, saya tetap teruskan perjuangan ini biarpun saya seorang yang selalu menangguhkan masa, hanya disiplin serta merancang masa dengan bijak merupakan kunci kejayaan saya di sepanjang pengajian ini.

“Saya merancang untuk menerusikan pengajian dalam bidang bioteknologi di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan ingin berkhidmat di Malaysia kerana saya mahu majukan bidang ini di negara kita,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Wei Nee ditemui selepas diraikan pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2022 Negeri Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad.

Penyampaian anugerah dan sijil telah disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3168
Kongsi :
Previous post Melaka bakal wujudkan ‘feeder transport’ di 3 zon
Next post Lautan manusia bermunajat di Dataran Sejarah
Ubah saiz-+=