Melaka bersedia jika berlaku banjir besar – Exco
BATU BERENDAM 12 September – Kerajaan Negeri Melaka melakukan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar pada pertengahan November ini susulan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, taburan hujan tinggi berkait Monsun Timur Laut dan Fenomena La Nina yang aktif sepanjang tempoh itu.
Menurutnya, setakat ini 18 daripada 128 lokasi yang dikenal pasti berisiko banjir sudah dipasang alat amaran awal sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kerajaan Negeri giat melakukan ujian terhadap sistem amaran awal banjir bagi memastikan ia berfungsi dengan baik. Kerja mendalam dan melebarkan sungai dibawah Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) juga giat dilakukan di lokasi seperti Sungai Duyong.
“Usaha ini didapati berkesan apabila air berjaya dialirkan dengan sempurna ketika hujan lebat. Saya menasihatkan penduduk tinggal berhampiran sungai supaya bersiap sedia, kita tidak boleh jangka taburan hujan, jika berlaku banjir, ia adalah banjir besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pelancong pertama dari Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), di sini, hari ini.
Rahmad berkata, Jawatankuasa Banjir peringkat negeri membabitkan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga sudah ditubuhkan bertujuan melancarkan penyelarasan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika berlaku bencana.
“Selain itu saya harap Kementerian Kerja Raya segerakan permohonan Kerajaan Negeri untuk menambahbaik sistem pembentungan sedia ada di semua jalan persekutuan.
“Hal ini kerana sistem pembentungan tidak sempurna adalah antara punca utama berlaku banjir di Negeri Melaka. Jadi kita minta pihak berkaitan untuk menyelenggara atau baiki sistem di jalan persekutuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.