Sukan tradisional bantu kanak-kanak lupakan gajet
DURIAN TUNGGAL 12 September – Tiada gajet di tangan dan hanya riang tawa kanak-kanak memecah kebuntuan di Taman Belimbing Setia Siri I, di sini pada acara sukan tradisional yang dianjurkan Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM), 10 September lalu.
Dalam acara itu, seramai 60 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun menyertai pelbagai permainan tradisional yang semakin dilupakan seperti tarik upih, baling tin, lompat getah, susun batu-bata dan kasut tempurung.
Menurut Pengarah Sukan Tradisonal Arena NAZIM Nazirah Aris, penganjuran sukan tradisional melibatkan komuniti itu diadakan bertujuan untuk melahirkan anak-anak yang sihat tubuh badan dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.
Pada masa sama, katanya, ia juga dapat mendekati masyarakat dan mengeratkan hubungan sesama ahli NAZIM dan para peserta.
“Arus pemodenan dan perkembangan teknologi tidak sepatutnya membantutkan perkembangan fizikal kanak-kanak disebabkan oleh pendedahan kepada gajet dan permainan skrin yang melampau.
“Lebih digerunkan lagi, kesannya, kanak-kanak mengalami ketagihan gajet seterusnya kurang aktiviti fizikal dan tidak gemar bersosial dengan rakan-rakan sebaya.
“Jadi, menerusi acara seperti ini, kita dapat melihat permainan yang diadakan secara berkumpulan itu membuatkan anak-anak lebih teruja dan gembira kerana dapat mencuba permainan yang jarang-jarang dilihat pada zaman sekarang,” katanya.
Program tersebut telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Zahari Abd Kalil dan turut dihadiri wakil Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Alor Gajah Mohd Hazwan Yusoff dan Pengerusi Penduduk Taman Belimbing Setia Datuk Razali Basri.
Mengulas lanjut, Nazirah berkata, pihak NAZIM akan terus komited memperkasakan sukan tradisional dalam kalangan masyarakat supaya ia kekal relevan dan tidak lenyap ditelan arus kemodenan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.