Buku Statistik Subnasional ‘permata’ pembangunan negeri

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 12 September – Buku Statistik Subnasional DUN yang disediakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mampu membantu setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka merancang pembangunan bersesuaian.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, segala data yang diwartakan dalam buku itu juga dapat membantu setiap wakil rakyat menilai dan meneliti segala keperluan asas yang diperlukan rakyat di kawasan masing-masing.

“Data ini untuk kerajaan pusat atau negeri memastikan bahawa dapatan ditunjukkan dalam buku yang diwartakan ini digubal dan menjadi satu dasar pembangunan atau penyampaian maklumat.

“Terima kasih kepada DOSM menyediakan data menerusi buku tersebut untuk diedarkan di semua peringkat nasional, parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seluruh daerah di peringkat negeri.

“Ini memudahkan pembuat dasar melaksanakan pembangunan baharu dalam setiap kawasan, data ini satu benda terperinci meliputi taburan penduduk, keperluan asas dan infrastruktur yang disampaikan kepada rakyat,” katanya.

photo1662958889
Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua dari kanan) bersama Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin (tiga dari kanan) diiringi Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (kanan) melawati pameran buku statistik subnasional DUN pada Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Sosioekonomi 2021 Negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merasmikan Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Sosioekonomi 2021 Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Noordin; Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh.

Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata perangkaan data yang disediakan DOSM ibarat permata yang bernilai untuk membantu sesebuah negeri dalam merancang segala keperluan dan masa hadapan rakyat yang lebih baik.

“Data ni kalau kita betul-betul guna dia akan jadi ‘diamond’, ia satu benda yang mempunyai nilai, jadi kalau kita tak pandai guna ia akan menjadi perkara yang tiada nilai.

“Data akan memberitahu apa yang kita perlu lakukan, kita boleh buat kajian faktor-faktor krisis semasa di semua peringkat pentadbiran, wakil rakyat sangat memerlukan data ini untuk segala penambahbaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1899
Kongsi :
Previous post Sukan tradisional bantu kanak-kanak lupakan gajet
Next post UTeM pilihan Universiti Australia
Ubah saiz-+=