Melaka buat persiapan rapi sambut ‘tetamu’ TMM2024

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Disember- Persiapan secara rapi telah dilaksanakan bagi menyambut ‘tetamu’ bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata kesemua agensi, pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) memberi komitmen tinggi sepanjang persiapan menjelang TMM2024.

Katanya, Kerajaan Negeri turut mengucapkan terima kasih atas komitmen Sukarelawan Tahun Melawat Melaka 2024 seramai 500 orang yang akan membantu dari segi fizikal dan mental untuk Bersama-sama menjayakan TMM2024.

“Semua pengisian acara yang disusun pada TMM2024 mengandungi aspek agama, adat warisan, seni, budaya dan cara hidup pelbagai etnik yang terdapat di Negeri Melaka.

“Nilai sejarah dan keunikan budaya ini, pastinya akan memberi impak yang besar dan menjadi tarikan kepada pelancong atau ‘tetamu’ untuk datang ke negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) & Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama di sini, malam ini.

Img 5035
Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam ketika acara gimik pelancaran sempena Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) & Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama, Melaka.
Turut bersama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Foto Iqmal Haqim Rosman

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin;  Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut,  Abdul Razak memaklumkan lebih daripada 70 acara utama telah disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Melaka pada Tahun 2024 bagi menarik kehadiran pelancong atau digelarkan sebagai ‘tetamu’ dari dalam mahupun luar negara.

“Sasaran kita adalah seramai 15 ke 18 juta orang ‘tetamu’ yang akan hadir pada tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post Tahun Melawat Malaysia 2026 sasar 35.6 juta pelancong asing
Next post Diskaun hingga 55 peratus untuk pelancong ke Melaka – KM
Ubah saiz-+=