
MELAKA BUKA PENTAS HARGAI ANAK MUDA, SEPTEMBER INI
DURIAN TUNGGAL 30 Julai – Kerajaan Negeri akan menganjurkan Karnival Anak Muda Melaka buat julung kalinya pada awal September depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Jelas beliau, karnival itu merupakan sebuah pentas khusus bagi menghargai peranan golongan belia, mengetengahkan bakat serta meraikan aspirasi anak muda sebagai tenaga penting negeri dan negara.
Menurut Ab Rauf, penganjuran karnival itu juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan ruang kepada generasi muda untuk menyerlahkan potensi, sekali gus menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan Negeri Melaka.
“Justeru, saya mengajak seluruh anak muda Melaka termasuk anak-anak yang berada di hadapan saya ini untuk hadir dan bersama-sama menghidupkan karnival ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Huffaz Negeri Melaka Tahun 2025 di Dewan Canseleri Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri mahu melihat golongan belia bukan sekadar menjadi peserta, malah tampil sebagai pencetus idea dan rakan strategik dalam memacu kemajuan negeri.
“Datanglah bukan hanya sebagai pengunjung, tetapi tampil sebagai pencetus idea, penggerak perubahan dan suara generasi yang akan menentukan masa hadapan Melaka,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri memaklumkan sebanyak 3,000 topi keledar edisi khas bercorak bendera Melaka dengan slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ serta 20,000 kemeja-T eksklusif karnival bakal menanti anak muda yang hadir pada karnival tersebut yang dijadual diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

