Melaka cadang anjur bazar Aidilfitri di kawasan lapang, elak kemelut antara peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 9 April – Kerajaan negeri akan mencadangkan agar penganjuran bazar Aidilfitri diadakan di kawasan lebih lapang bermula tahun depan dan bukannya di hadapan lot-lot kedai sedia ada seperti tahun ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Zaidi Attan berkata, inisiatif itu dilakukan bagi mengelak berulangnya isu kemelut di antara pemilik kedai dan peniaga bazar seperti yang berlaku di Jalan Hang Tuah, baru-baru ini.

Katanya, dengan penganjuran bazar Aidilfitri di kawasan bersesuaian, ia juga diyakini mampu mengurangkan kos sewaan tapak, sekali gus membantu lebih banyak usahawan tempatan berniaga.

“Antara cadangan kita ialah untuk mengadakan bazar di tapak yang merupakan tanah kerajaan atau tapak sewaan swasta untuk membolehkan kos penganjuran bazar dikurangkan dan memberi lebih banyak peluang kepada peniaga tempatan terlibat.

“Maklumlah, kalau sewa sehingga RM4,000 atau RM5,000 bukan semuanya mampu, mungkin jika dapat turunkan sewa seperti contoh RM1,000 ia boleh galakkan lebih ramai untuk berniaga.

“Jadi, tapak-tapak baharu ini akan saya selenggara pada tahun depan dan pada masa sama kita akan dapatkan pandangan daripada peniaga dan penganjur di mana tapak-tapak yang lebih bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan Penyerahan Patel Lesen Berniaga di Bazar Aidilfitri Mydin Ayer Keroh, malam tadi, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman.

Mengulas mengenai kemelut yang berlaku di antara pekedai dengan penganjur Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah, Zaidi berkata, unit pelesenan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah mengadakan rundingan bersama pihak terbabit.

Katanya, rundingan itu antara lain mencadangkan agar satu tapak diberikan kepada pemilik kedai di hadapan kedai mereka.

“Kalau boleh kita tak nak ada gaduh-gaduh, masing-masing juga kongsi rezeki sebab kita baru hendak mula bernafas sejak pandemik COVID-19 melanda.

“Alhamdulillah saya dimaklumkan rundingan itu berjalan baik di antara pihak yang terlibat,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post Dua lagi penyelam ditemui selamat, seorang masih hilang
Next post Insiden MH2664: Penumpang nafi cuaca buruk, mohon siasatan telus
Ubah saiz-+=