Melaka catat kes baharu Covid-19 tertinggi hari ini, babitkan 13 kes import

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PUTRAJAYA 1 Jun – Melaka mencatatkan bilangan kes baharu Covid-19 tertinggi pada hari ini membabitkan 13 kes import.

Berdasarkan data bilangan kes baharu, Selangor pula merekodkan 11 kes baharu termasuk tujuh kes import dan Kuala Lumpur turut mencatatkan 11 kes baharu dengan enam kes import.

Selain itu Negeri Sembilan merekodkan dua kes penularan tempatan manakala Sabah satu kes.

Pada perkembangan sama, tiga kluster telah tamat di mana tiada lagi kes aktif direkodkan, menurut laporan Sinar Harian.

Dalam perkembangan berkaitan, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata terdapat 902 kes import yang dikuarantin di Melaka setakat 1 Jun.

Sementara itu berdasarkan data perbandingan kes harian Covid-19 (ditolak kes import, kes warga asing di depoh tahanan dan warga asing dalam komuniti) berbanding unjuran pemodelan pada 21 Mei mendapati wabak Covid-19 akan berakhir pada 14 Julai depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia akan berlaku sekiranya rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Unjuran kes harian penularan tempatan melibatkan rakyat negara ini adalah sejajar dengan pemodelan yang diramal oleh Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menurutnya, unjuran tersebut menggambarkan impak positif tindakan yang telah diambil kerajaan selain pematuhan rakyat terhadap SOP.

“KKM ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia kerana memberi kerjasama kepada kerajaan untuk mencapai pencapaian ini bagi membendung penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat harus kekal waspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat.

“Hari ini merupakan hari ke-29 sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 4 Mei lalu dan kerajaan telah membenarkan pembukaan beberapa sektor ekonomi secara terkawal dan berhati-hati dengan pelbagai SOP diperkenalkan,” katanya.

Views:

741
Kongsi :
Previous post Bingkai pintu, dinding berusia lebih 100 tahun tarik perhatian
Next post Majlis angkat sumpah Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu Jumaat ini
Ubah saiz-+=