Melaka destinasi tumpuan
BANDA HILIR 30 Ogos – Melaka terus menjadi tumpuan pelancong apabila ramai memilih negeri ini sebagai destinasi pelancongan.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sekitar Bandar Hilir mendapati ianya bukan sahaja dikunjungi pelancong dari luar malah penduduk tempatan turut tidak melepaskan peluang ke tempat tumpuan.
Bagi Salihah Sayutiam, 37, dari Pulau Pinang, berkata, Melaka menjadi destinasi percutiannya bersama keluarga kerana banyak aktiviti dapat dilakukan termasuk boleh mencuba pelbagai masakan menarik.
“Bagi saya Melaka ini bukan sahaja negeri bersejarah malah unik kerana kita tidak perlu berkejar untuk ke suatu tempat yang lain memandangkan lokasinya berdekatan seperti muzium dan tempat sejarah.
“Malah beca yang dihiasi dengan pelbagai gaya membuat anak- anak turut teruja untuk datang ke sini,” katanya.
Menurutnya, dia bersama suami dan empat anak yang tiba semalam di negeri ini akan turut mencuba masakan asam pedas serta kuih keria yang sering menjadi bualan ramai.
Manakala bagi Nyaros Adam, 38, dari Bukit Baru, di sini, berkata, memandangkan penularan wabak COVID-19 masih ada, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjadikan Melaka destinasi cuti hujung minggu bersama anak-anak.
“Cuti kali ini saya berkesempatan membawa anak-anak berjalan dan kami memilih di sini sahaja selain langkah berjaga-jaga.
“Di sini pelbagai aktiviti termasuk boleh melawat muzium, menaiki beca dan naik ke Bukit St Paul secara tidak langsung anak- anak dapat tahu tinggalan sejarah yang ada,” katanya.
Sementara itu, bagi pengayuh beca Mohamad Muzamair Mohd Said, berkata, trend peningkatan pelancong dapat dilihat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terutama waktu cuti umum dan hujung minggu.
“Alhamdulillah, apabila ramai pelancong yang datang rezeki kami pengayuh beca ada terselit.
“Pada cuti hujung minggu dan sekolah pelancong agak ramai dan saya boleh dapat lebih pelanggan berbanding hari biasa,” katanya.