Laungan Merdeka berkumandang di Sungai Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDA HILIR 31 Ogos – Sambutan Ambang Merdeka peringkat negeri Melaka berlangsung meriah dan penuh warna-warni daripada percikan bunga api yang dipasang di sekitar muara Sungai Melaka.

Walaupun terpaksa disambut serba sederhana ekoran penularan pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang kerajaan negeri bersama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka dan Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) untuk menganjurkan sambutan ambang merdeka secara ‘live’ menerusi platform Facebook.

Acara tersebut dimulai dengan ketibaan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali di Taman Rempah kira-kira jam 10.15 malam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu, Pengurus Besar BPP Negeri Melaka, Shaari Basiron dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Khairunnisa Ibno Masooda.

Sulaiman bersama tetamu kehormat kemudiannya dibawa menaiki kapal mendam berahi dan menyusuri Sungai Melaka.

Sepanjang perjalanan, tetamu dan penonton Facebook Live Tourism Melaka dijamukan dengan pelbagai persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian lagu-lagu patriotik.

Selain itu turut diadakan pertunjukan istimewa daripada 30 buah Jet Ski yang dihiasi lampu warna-warni dan kibaran Jalur Gemilang.

Acara kemuncak ialah laugan kata-kata keramat ‘Merdeka!’ oleh Sulaiman bersama-sama tetamu dan pengunjung di sekitar Sungai Melaka.

Laungan itu disulami dengan percikan beratus das bunga api sebagai simbolik Hari Kemerdekaan Malaysia ke-63.

Views:

443
Kongsi :
Previous post Melaka destinasi tumpuan
Next post “Sambutlah merdeka walau apa jua cara” – Sulaiman
Ubah saiz-+=