Melaka Hari Ini terima Anugerah Media Paling Proaktif MBMB 2021

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 24 Mac – Melaka Hari Ini bersama empat lagi agensi media negeri Melaka menerima Anugerah Media Paling Proaktif 2021 oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam Majlis Apresiasi MBMB 2022 yang berlangsung di Dewan Taming Sari MBMB, hari ini.

Anugerah itu diberikan kepada media yang paling banyak membuat liputan serta hebahan berita mengenai Bandaraya Melaka di bawah kelolaan MBMB.

Sepanjang Jan hingga Dis tahun lalu, Melaka Hari Ini telah menyiarkan keseluruhan 53 liputan dan hebahan mengenai program, aduan serta tindakan MBMB dalam menyelesaikan segala permasalahan serta menjaga kesejahteraan komuniti di Bandaraya Melaka.

Turut menerima pengiktirafan sama ialah RTM, TV3, China Press dan Sin Chew Daily.

Selain itu, anugerah apresiasi turut diberikan kepada agensi kerajaan, komuniti perumahan, badan bukan kerajaan (NGO), individu prihatin dan usahawan dinamik di dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

ZAINAL (duduk, tengah) bergambar bersama penerima-penerima anugerah pada Majlis Apresiasi MBMB 2022 sempena Ulang Tahun Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ke-19 di Dewan Taming Sari MBMB, Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

Menurut Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu, majlis itu diadakan bertujuan bagi menghargai peranan pelbagai pihak khususnya pengamal media yang banyak menyalurkan pelbagai maklumat dan hebahan MBMB secara terus kepada warga bandaraya khususnya dan rakyat Melaka amnya.

Pada masa sama, ujarnya, penghargaan turut diberikan kepada komuniti, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang turut memainkan peranan yang penting dalam pembangunan Bandaraya Melaka.

“Jadi pada saya, majlis ini walaupun diadakan secara kecil-kecilan, ia adalah tanda penghargaan dan pada masa sama merancakkan lagi kerjasama dan hubungan di antara media dan MBMB,” katanya dalam sidang media selepas majlis berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1077
Kongsi :
Previous post JAPERUN Ayer Molek sentiasa siap sedia
Next post Ibu tunggal usahakan tanaman pokok hiasan demi kelangsungan hidup
Ubah saiz-+=