Melaka ikrar perangi rasuah

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 19 Mac – Kerajaan negeri komited untuk memerangi jenayah rasuah khususnya membabitkan penjawat awam di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2019 hingga Februari tahun ini, trend rasuah dalam kalangan penjawat awam masih di tahap membimbangkan iaitu 1,060 kes tangkapan dan 193 kes sabitan.

Katanya di peringkat negeri Melaka pula 52 kes tangkapan dan 38 kes sabitan direkodkan, justeru beliau meminta setiap penjawat awam menzahirkan kebertanggungjawaban dalam amanah yang diberikan dan membasmi gejala itu daripada terus menjadi barah.

“Selaku penjawat awam yang menggalas amanah rakyat dan negara, perkara utama yang perlu ada dalam diri setiap individu adalah integriti. Hal ini kerana ia berkait rapat dengan isu etika dan nilai-nilai murni.

“Kita semua perlu sedar dan sentiasa ingat, jika kita tidak amanah dan berintegriti, ia bukan sahaja boleh mencalarkan peribadi sendiri, bahkan akan merosakkan prestasi dan nama baik organisasi, negeri dan juga negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah oleh kakitangan Pejabat Undang-Undang Negeri Melaka di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Dalam majlis itu seramai 52 kakitangan termasuk Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri hadir untuk bersama-sama mengikuti lafaz ikrar itu.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Penasihat Undang-undang Negeri Datuk Mohammad Abazafree Mohd Abbas, Pengarah SPRM Melaka Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

445
Kongsi :
Previous post Kilang Jerman di Melaka: Beri keutamaan kepada anak tempatan
Next post Melaka puas hati pematuhan majikan Akta 446
Ubah saiz-+=