Kilang Jerman di Melaka: Beri keutamaan kepada anak tempatan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 19 Mac – Kerajaan negeri meminta syarikat elektronik Jerman, Leuze Electronic yang membuka kilang pengeluaran sensor optik di negeri ini memberikan keutamaan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, beliau memaklumkan hasrat itu semasa perjumpaan dengan Ketua Pegawai Operasi (COO) Leuze Electronic, Jochen Wimmer di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu pihaknya telah dimaklumkan bahawa kilang itu yang akan dibuka 18 bulan daripada sekarang sedia menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan.

SULAIMAN ketika perjumpaan dengan Jochen Wimmer di Pejabat Ketua Menteri, Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.

“Saya dimaklumkan sebelum ini operasi pembukaan kilang itu sedikit tergendala sejak pandemik COVID-19 melanda dan kini selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan segala agensi berkaitan, pembinaannya sudah disambung semula dan dijangka siap 18 bulan daripada sekarang.

“Apabila kilang itu siap nanti lebih 100 peluang pekerjaan akan diwujudkan di samping ia juga dijangka dapat menyokong industri yang ada di dalamnya.

“Apa sekalipun keutamaan (membabitkan peluang pekerjaan) perlu diberikan kepada anak tempatan. Jadi, saya mahu perkara itu diberi keutamaan apabila kilang itu dibuka nanti,” katanya.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan Leuze Electronic yang merupakan pengeluar sensor optik kelapan terbesar di dunia memilih Melaka sebagai lokasi pelaburan baharu dalam usaha memenuhi permintaan pasaran Asia.

Kilang tersebut akan dibangunkan di tanah seluas 1.62 hektar di Pusat Industri Pintar (SIC) Bukit Rambai dengan nilai pelaburan keseluruhan RM250 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post Katalog perundangan negeri Melaka rujukan buat semua
Next post Melaka ikrar perangi rasuah
Ubah saiz-+=