Katalog perundangan negeri Melaka rujukan buat semua

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 19 Mac – Katalog Perundangan Negeri Melaka yang dilancarkan hari ini diharap dapat dijadikan rujukan semua pihak berkepentingan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, katalog yang menghimpunkan senarai perundangan yang diguna pakai oleh pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam satu naskah itu amat penting dalam merealisasikan serta membantu meningkatkan tadbir urus peraturan negeri ini.

Selain itu, ujarnya, katalog yang mengambil masa lebih setahun untuk dihasilkan turut menjadi sebahagian daripada hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan Amalan Baik Peraturan atau Good Regulatory Practice (GRP) di negeri ini.

SULAIMAN berharap Katalog Perundangan Negeri Melaka yang dilancarkan hari ini dapat dijadikan rujukan semua pihak berkepentingan.

“GRP adalah satu aspek penting bagi merealisasikan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang mana dalam tempoh 15 tahun iaitu menjelang 2035, kita sasarkan hampir 80 peratus undang-undang Negeri Melaka akan mengikut standard dan piawaian Amalan Baik Peraturan ini.

“Bersesuaian dengan slogan baharu Negeri Melaka, ‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia’, inisiatif ini membuktikan iltizam kerajaan untuk melaksanakan segala penambahbaikan tadbir urus dan kawal selia peraturan di samping memastikan sistem penyampaian perkhidmatan di negeri ini dilaksanakan dengan efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan katalog berkenaan di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Penasihat Undang-undang Negeri Datuk Mohammad Abazafree Mohd Abbas dan Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Sementara itu, Mohammad Abazafree memaklumkan melalui katalog berkenaan, segala undang-undang yang disenaraikan akan diteliti dan dilihat keberkesanannya.

Beliau berkata, sekiranya ada antara undang-undang yang ada perlu dikekalkan, ia akan dikekalkan dan sekiranya memerlukan penambahbaikan, ia juga dilakukan.

“Mana-mana undang-undang yang didapati sudah terlalu lama dan tidak sesuai mengikut tuntutan zaman, ia akan dibuang dan digantikan dengan undang-undang yang bersesuaian,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

636
Kongsi :
Previous post Fernandes sedia terajui MFL
Next post Kilang Jerman di Melaka: Beri keutamaan kepada anak tempatan
Ubah saiz-+=