Fernandes sedia terajui MFL

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR 19 Mac. – Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes yang namanya disebut-sebut sebagai calon presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bersedia memikul tanggungjawab itu, namun tertanya-tanya sama ada komuniti sukan tersebut sudi menerimanya.

Pemilik kelab bola sepak Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) tersebut berkata, beliau tidak gentar dengan cabaran dan akan memberikan komitmen 100 peratus dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap sukan kegemarannya itu.

Bagaimanapun berikutan imejnya sebagai pemain industri penerbangan, Fernandes menyerahkan kepada komuniti bola sepak dan Lembaga Pengarah MFL untuk menilai sama ada beliau mempunyai ciri-ciri yang diperlukan bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh presiden semasa MFL Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Bolehkah komuniti bola sepak menerima saya? Saya mengendalikan MFL, bunyinya menakutkan tetapi apa yang saya tahu ialah saya akan berikan sepenuh tenaga terhadap tugas itu. Terserah kepada komuniti bola sepak untuk memutuskan sama ada mereka mahu ‘orang penerbangan’ menyertai mereka.

“Saya tidak tahu sama ada MFL mahukan saya sebagai orang nombor satunya, tetapi jika saya diminta menjadi pengurus pasukan Malaysia, saya teringin melakukannya, segala yang berkaitan dengan sukan serasi dengan saya, saya sukakan persaingan dan saya mahu Malaysia mencipta kejayaan,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Berikutan cabaran yang dihadapi MFL sepanjang penularan pandemik COVID-19, Fernandes dilihat sebagai calon yang dapat menyuntik dimensi baharu dalam menarik lebih ramai penaja, sekali gus meningkatkan pendapatan serta nilai komersial Liga Malaysia.

Beliau bagaimanapun enggan membuat sebarang janji yang keterlaluan terlalu awal, sebaliknya berkata penyokong memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada peningkatan nilai komersial liga itu.

“Memang saya sukakan sukan, saya boleh lakukannya namun saya tidak tahu sama ada saya mampu meningkatkan aspek kewangan MFL.

“Untuk dikomersialkan, bola sepak memerlukan wang, justeru adakah orang ramai bersedia membayar untuk menonton bola sepak? Bagi membolehkan MFL berubah, rakyat Malaysia harus sedar bahawa mereka perlu berbelanja lebih sedikit jika mahu produk berkualiti, selain stesen televisyen juga harus terlibat,” katanya.

Khamis lalu, Fernandes yang juga tokoh korporat, meluahkan kesediaannya untuk mengisi kerusi nombor satu MFL selepas Hamidin menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan itu susulan kejayaannya mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak (FAM) untuk penggal kedua tanpa bertanding pada Sabtu lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post Lelaki berpangkat Datuk didakwa lupus, pindah, terima wang lebih RM8 juta
Next post Katalog perundangan negeri Melaka rujukan buat semua
Ubah saiz-+=