Sorting by

×

Melaka jadi negeri perintis guna MyLAH

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

REMBIA 11 November – Melaka dipilih sebagai negeri pertama di Malaysia bagi menggunakan Platform Hab Bantuan Pelajaran (MyLAH) kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Rahmad berkata, platform MyLAH atau ‘My Learning Asisstance Hub’ memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu membantu murid dan pelajar mendapatkan jawapan bagi semua mata pelajaran menggunakan aplikasi WhatsApp atau Telegram.

Katanya, platform yang diperkenalkan itu amat bertepatan dan mendukung hasrat Kerajaan Negeri dalam memperkasakan revolusi sistem pendidikan ke arah penggunaan digital secara lebih meluas.

“Platform ini menyediakan perkhidmatan untuk 25 subjek teras yang diajar di sekolah rendah dan menengah di Malaysia, sekarang semuanya di hujung jari.

“Kemudahan ini juga memberi manfaat kepada para guru,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran MyLAH di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Melaka, Datuk Rozlan Mohamed; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Karim Tumin; Pengerusi Yayasan Pendidikan Malaysia, Mohd Najib Mohd Noor; Ketua Pegawai Eksekutif BjaQ Group (M) Sdn Bhd, Amirul Anas Abdul Aziz serta tetamu lain.

Photo1699616183
APLIKASI MyLAH pada Majlis Pelancaran My Learning Assistance Hub (MyLAH) di Dewan Taming Sari UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah. Foto MR AZLI

MyLAH hasil inovasi BjaQ Group (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) dan Yayasan Pendidikan Malaysia, pertama kali diperkenalkan di Malaysia mengkhususkan kepada murid serta pelajar sekolah dengan menjadikan Melaka sebagai negeri perintis dalam pelaksanaannya.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, setakat ini seramai 250 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil telah menggunakan platform itu dan mendapati lebih 8,000 soalan telah ditanyakan menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram dalam tempoh seminggu.

Jelas beliau, langkah memperluaskan platform itu akan dilaksanakan malah menyarankan setiap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun mana-mana agensi dan syarikat untuk menaja langganan bagi sekolah-sekolah.

Malah ujarnya, menerusi MyLAH, platform itu turut memperkenalkan ciri-ciri utama di bawah ‘My Most Unspoken Note adn Honesty’ (MyMUNAH) sebagai medan membantu pelajar mendapatkan sokongan motivasi dalaman.

“Dengan langganan serendah RM79 bagi tempoh setahun pelajar boleh mendapatkan perkhidmatan menggunakan kepakaran AI. Bagaimanapun kita melihat perkara ini bukannya satu paksaan kepada pelajar atau pihak sekolah.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong platform ini kerana revolusi pendidikan berteraskan digital itu perlu dilaksanakan bermula dari sekarang.

“Kita akan memfokuskan kepada golongan B40 dan asnaf di Melaka untuk dibantu dengan platform ini dengan bantuan tajaan daripada mana mana NGO atau agensi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2077
Kongsi :
Previous post Kes denggi menurun 2.2 peratus, lima kematian dilaporkan
Next post JCCM 2023 perhebat promosi TMM2024
Ubah saiz-+=