JCCM 2023 perhebat promosi TMM2024
BANDARAYA MELAKA 11 November – Penganjuran Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) 2023 antara platform terbaik dalam memperhebatkan lagi promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, menerusi platform disediakan JCCM 2023 orang ramai berpeluang meninjau pelbagai pakej pelancongan domestik menarik terutamanya yang ditawarkan di Melaka.
“Saya amat berbangga kerana Tourism Melaka dan Tourism Malaysia bekerjasama dalam mempromosikan TMM2024 dengan menggerakkan TIC Mobile Tourism Melaka ke lokasi penganjuran program JCCM 2023.
“Malah pemilihan Melaka sebagai antara lokasi JCCM 2023 juga membantu Kerajaan Negeri dalam mempromosikan TMM2024, begitu juga beberapa negeri lain seperti Perak, Perlis dan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan JCCM) 2023 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Saari Basiron, di sebuah pusat beli-belah di Taman Lagenda, di sini, semalam.
Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata, dengan tawaran diskaun antara 15 hingga 20 peratus ia secara tidak langsung dapat menarik minat rakyat Malaysia untuk merancang percutian di dalam negara.
“Selain itu penggiat pelancongan tempatan juga diminta untuk mengambil bahagian dalam penganjuran JCCM 2023 kerana ini adalah platform terbaik bagi mempromosikan pakej pelancongan domestik,” katanya.
Sementara itu, Dr. Ammar berkata, Melaka adalah sebuah negeri yang agresif dan sentiasa memikirkan untuk mengeluarkan produk pelancongan baharu termasuklah mempromosikan pulau-pulau di perairan Selat Melaka.
“Dengan adanya produk baharu ini kita harap TMM2024 akan mencapai matlamat dan penganjuran ini menjadi batu loncatan bagi mencapai kunjungan seramai 18.7 juta pelancong ke Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.