500 meriahkan Menara Taming Sari Fun Ride 2023

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 11 November – Sambutan Ulang Tahun ke-15 Menara Taming Sari dimeriahkan dengan program kayuhan basikal Menara Taming Sari Fun Ride 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Sdn Bhd Azlan Abidin berkata, penganjuran program kayuhan sejauh 50 kilometer itu mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila disertai kira-kira 500 peserta.

Jelasnya, program yang bermula di perkarangan Menara Taming Sari itu turut mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia menerusi Geran Sepadanan Sektor Pelancongan (GSSP).

“Penganjuran ini membabitkan kira-kira 500 penyertaan termasuk daripada warga Melaka, pelancong dan mereka yang aktif dalam aktiviti berbasikal serta gemar melancong.

“Kayuhan ini membabitkan laluan sejauh 50 kilometer iaitu melalui Jalan Laksamana Cheng Ho, Jalan Maktab, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan akan ke Batang Tiga, Jalan Lama Balik Bukit, Jalan Pekan Tanjung 2 seterusnya menghala ke Lebuhraya Coastal, Jalan Taman Mahajaya sebelum kembali semula ke Menara Taming Sari.

“Apa yang menariknya kayuhan ini antara program sempena sambutan Ulang Tahun ke-15 Menara Taming Sari malah peserta juga turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti barangan elektrik, basikal serta baucar hotel,” katanya.

Terdahulu, acara pelepasan Kayuhan Menara Taming Sari Fun Ride 2023 disempurnakan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan, di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Img 20231111 115029 879
TIMBALAN Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan ketika simbolik pelepasan peserta pada Program Kayuhan Ulang Tahun Ke-15 Menara Taming Sari Fun Ride 2023 di perkarangan Menara Taming Sari. Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari, Azlan Abidin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut Azlan berkata, penganjuran program itu juga adalah bertujuan mempromosikan destinasi pelancongan di Negeri Melaka sekali gus menggalakkan kedatangan pelancong domestik dalam sub-sektor pelancongan sukan.

“Selain itu juga aktiviti berbasikal ini bertujuan untuk merancakkan lagi ketibaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kami juga berpendapat aktiviti berbasikal ini patut dijadikan acara yang dapat menjana ekonomi hiliran kepada masyarakat setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1092
Kongsi :
Previous post JCCM 2023 perhebat promosi TMM2024
Next post Melaka tubuh jawatankuasa cantasan pokok
Ubah saiz-+=