Melaka tubuh jawatankuasa cantasan pokok

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PAYA RUMPUT 11 November – Jawatankuasa Cantasan Pokok Melaka akan ditubuhkan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengakibatkan kemalangan jiwa di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, jawatankuasa itu bukan sahaja melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), malah ia turut akan membabitkan agensi dan jabatan kerajaan lain yang mempunyai aset.

“Insya-Allah, saya akan buat satu mesyuarat dengan semua PBT dan agensi berkaitan dalam masa terdekat.

“Dalam mesyuarat itu nanti saya akan tubuhkan satu jawatankuasa cantasan pokok melibatkan semua agensi berkaitan yang mana setiap yang terlibat akan menggerakkan anggota dan aset di lokasi aduan.

“Saya tahu PBT memang ada unit landskap mereka tetapi kali ini ia ditubuhkan menerusi portfolio saya sendiri yang melibatkan agensi dan jabatan lain dalam jawatankuasa ini supaya kita dapat melakukan tindakan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program 3 Kilometer (km) International Fun Walk sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, Rozahiran Hamzah dan lain-lain kenamaan.

Tegas Rais, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh komited memastikan segala aduan rakyat khususnya membabitkan isu pokok dapat diambil tindakan segera.

“Kita tidak mahu lagi dengar sudah tiga, empat aduan dibuat tetapi tiada tindakan diambil. Kalau boleh kita mahu memastikan sifarkan aduan berulang mengenai perkara ini.

“Sebab itu kita wujudkan jawatankuasa ini supaya kita boleh bertindak lebih awal terutamanya aduan-aduan yang rakyat berikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2183
Kongsi :
Previous post 500 meriahkan Menara Taming Sari Fun Ride 2023
Next post Maksud tersirat warna-warni kolam
Ubah saiz-+=