Melaka jadi pengeluar katak tertinggi negara

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 23 Mac – Melaka menjadi negeri pengeluar ternakan katak tertinggi negara tahun lalu mengatasi Pulau Pinang dan Perak.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Melaka menghasilkan lebih 1.5 juta ekor katak tahun lalu.

Selain Melaka yang berjaya menternak 1,560,875 ekor katak, hanya dua negeri lagi dikenal pasti DVS yang mempunyai perusahaan penternakan katak komersial di Malaysia iaitu Perak dan Pulau Pinang, namun jumlahnya pula agak kecil.

Perak cuma mampu menghasilkan sejumlah 147,289 ekor katak pada tahun lepas, bertambah sedikit daripada tahun sebelumnya hanya 140,600 ekor haiwan spesies dua alam berkenaan.

Sementara itu, Pulau Pinang pula sekadar mengeluarkan sebanyak 67,683 ekor katak, merosot 2,317 ekor berbanding 70,000 ekor yang direkodkan pihak DVS pada tahun 2019.

Secara keseluruhannya, laporan portal Utusan Malaysia itu menyebut, Malaysia berjaya menghasilkan sejumlah 1,775,847 ekor katak ternakan sepanjang tahun lalu, bertambah 39,247 ekor daripada sebanyak 1,736,600 ekor pada 2019.

Ternakan amfibia ini lebih kepada pembekalan makanan eksotik di restoran dan lazimnya menerima permintaan tinggi pelanggan yang gemar rasa dagingnya atas faktor kesihatan.

Dianggarkan sebanyak 3.2 bilion ekor katak dieksport ke seluruh dunia setahun dengan pengguna terbesar ialah pelbagai negara anggota Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Seekor katak dewasa komersial mampu dijual pada harga cecah £10 atau RM57 di pasaran global dengan China dan Indonesia merupakan dua negara pengeksport utama haiwan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3696
Kongsi :
Previous post Hospital pengajar UiTM Puncak Alam mula beroperasi 5 April
Next post Polis nilai tumpas sindiket curi elektrik, rampas mesin pelombongan bitcoin 1.6 juta.
Ubah saiz-+=