Melaka jadi tuan rumah Hari Malaysia, Festival Filem Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 5 Ogos – Melaka akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada September depan dan Festival Filem Malaysia (FFM) penghujung tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, penganjuran itu merupakan kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOMM) dan Kerajaan Negeri Melaka.

Katanya, ia juga sebagai pemangkin bagi kedua-dua pihak (KKOMM dan kerajaan negeri) mengatur lebih banyak program berskala besar untuk kebaikan rakyat di masa akan datang.

“Pada bulan hadapan kita bersama lagi di Melaka dalam sambutan besar-besaran Hari Malaysia.

“Malah kita berasa bangga untuk melihat negeri Melaka sebuah negeri yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dan acara-acara, malah senyum Malaysia bermulanya dengan senyum lebarnya rakyat di negeri Melaka ini.

“Saya percaya kerjasama erat antara KKOMM serta Kerajaan Negeri Melaka memungkinkan kita untuk mengatur banyak lagi rancangan-rancangan termasuklah pada penghujung tahun ini, Melaka akan menjadi tuan rumah kepada Festival FIlem Malaysia yang akan diadakan dengan penuh kemeriahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kembara RIUH Keluarga Malaysia Edisi Ketiga RIUH NAU! di Dataran Pahlawan di sini malam tadi.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKOMM Datuk Seri Mohammad Mentek dan Pengerusi MyCreative Ventures Noor Azmi Mat Said.

Kembara RiUH Keluarga Malaysia yang menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan, dijangka mampu mewujudkan sekurang-kurangnya 7,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi di seluruh negara selain menyokong lebih 5,000 perniagaan tempatan.

Ia juga selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan sumbangan industri kreatif kepada KDNK iaitu sebanyak 20 peratus dengan anggaran RM31 bilion menjelang 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2801
Kongsi :
Previous post Tonjol warisan budaya Melaka di mata dunia – KM
Next post Tiga beranak maut dalam kemalangan di Kota Kinabalu
Ubah saiz-+=