Sorting by

×

Tonjol warisan budaya Melaka di mata dunia – KM

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 5 Ogos – Program RIUH Nau! mampu menjadi platform industri kreatif di Melaka menonjolkan lebih banyak warisan budaya negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu lebih banyak warisan budayanya dipersembahkan kepada dunia luar dan rakyat yang masih belum mengenalinya.

Katanya, Melaka merupakan negeri yang kaya dengan adat warisannya yang mempunyai nilai estetika tinggi seperti Dondang Sayang, Joget, Nazam, Zapin dan Rebana Keras.

“Warisan industri kreatif sangat penting sebagai khazanah yang tidak ternilai untuk dimartabatkan di mata dunia. Ekspresi kesenian dan kebudayaan mempunyai kuasa transformatif yang boleh mempengaruhi setiap lapisan masyarakat.

“Kerajaan Negeri Melaka akan terus melaksanakan usaha intensif dalam mempromosi aktiviti pelancongan Negeri Melaka sebagai destinasi utama pelancong tempatan dan antarabangsa.

” Ia sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai negeri pelancongan yang mampu menggamit dunia seperti yang terkandung di dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).

“Program RIUH Nau! antara inisiatif yang memberi peluang kepada pemain industri kreatif di Melaka untuk menonjolkan identiti budaya, adat dan tradisi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian sempena Program Kembara RIUH edisi ketiga RIUH Nau! di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ismail Durum dan Exco Kanan Perindustrian,Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohammad Mantek dan Pengerusi MyCreative Ventures Noor Azmi Mat Said.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, industri kreatif memerlukan generasi masa kini yang gigih memperkasa adab, adat dan budaya untuk membina masyarakat muhibah dalam dunia serba moden, tanpa mengorbankan identiti seni dan budaya negara.

“Budaya yang dibawa melalui seni warisan ini sebenarnya paksi identiti, jati diri dan kekuatan sesebuah negara.

“Bukan itu sahaja, budaya kita juga mementingkan adab dan budi pekerti yang disanjung tinggi oleh semua masyarakat,” katanya.

Tambahnya, warisan industri kreatif sangat penting sebagai khazanah yang tidak ternilai untuk dimartabatkan di mata dunia dan ekspresi kesenian serta kebudayaan mempunyai kuasa transformatif yang boleh mempengaruhi setiap lapisan masyarakat

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3480
Kongsi :
Previous post Fenomena proses geologi berangkai faktor utama bencana banjir di Baling
Next post Melaka jadi tuan rumah Hari Malaysia, Festival Filem Malaysia
Ubah saiz-+=