Melaka jalin kerjasama dengan negeri lain rangka pakej pelancongan domestik

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

ALOR GAJAH, 1 Jan – Kerajaan Melaka menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) sedang giat menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri lain untuk merangka pakej pelancongan bersesuaian bagi menarik kedatangan pelancong domestik ke negeri itu.

Pengurus Besar BPP negeri Sa’ari Basiron berkata langkah itu selaras situasi semasa penularan COVID-19 yang masih membimbangkan terutama terdapat jangkitan pelbagai varian baharu dari luar negara.

Beliau berkata kerjasama antara kerajaan negeri terlibat dilakukan menerusi kaedah pemadanan perniagaan bagi mempromosikan produk dan pakej pelancongan di negeri masing-masing.

“Seperti yang diumum sebelum ini, kita menyasarkan 5.6 juta pelancong berkunjung ke Melaka sepanjang 2022 ini dengan 70 peratus daripadanya adalah pelancong domestik.

“Kita akan mulakan kerjasama dengan Kerajaan Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh Januari hingga Mac ini dan seterusnya negeri lain yang menyumbang jumlah kedatangan pelancong domestik tertinggi,” katanya kepada pemberita pada program Melaka Food Fiesta 2022 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mewakili kerajaan negeri menerima sijil pengiktirafan ‘Susunan Kuih Bakar Terpanjang’ daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) yang disampaikan Perunding Rekod Kanan MBOR Edwin Yeoh.

Sa’ari berkata pengiktirafan itu diterima menerusi inisiatif BPP menyusun 1,180 biji kuih bakar tradisional sepanjang 207.7 meter sebagai satu daripada acara pada fiesta makanan yang berlangsung sehari itu.

“Kuih bakar berkenaan kemudian dijual kepada pengunjung fiesta dan hasil jualannya akan disumbangkan kepada kerajaan Melaka untuk membantu mangsa banjir di negeri itu.

“Kuih itu dijual pada harga RM5 untuk dua biji dan bantuan kecil ini juga turut membantu pengusaha kuih bakar terlibat,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

869
Kongsi :
Previous post Banjir: Mangsa di Melaka meningkat 507 orang setakat 4 petang
Next post Dua jalan raya di Segamat ditutup susulan banjir
Ubah saiz-+=