Melaka kaji skim gaji dan elaun SSPA penjawat awam

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 11 Disember – Skim gaji dan elaun tetap penjawat awam sedang diteliti menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri sedang menyemak semula perkara itu selepas kali terakhir dilaksanakan pada 2012.

Menurutnya, kajian SSPA itu memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan menjelang penghujung tahun hadapan.

“Saya percaya, kajian ini akan mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan pesara kerajaan agar terus dipelihara.

“Bagaimanapun, sementara menunggu kajian ini dimuktamadkan dengan inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan Madani 2024, telah bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan sebanyak RM1,000 kepada semua pesara Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2023 diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Abdul Aziz Engan; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta tetamu lain.

Terdahulu, seramai 35 pesara termasuk lapan waris pesara yang meninggal dunia diraikan bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh berkhidmat dalam pentadbiran Kerajan Negeri.

Pada masa sama, beliau menasihatkan kepada semua pesara agar bijak menguruskan kewangan mereka termasuk tidak mudah terpedaya dengan skim cepat kaya.

“Janganlah mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran ini termasuk di media sosial, mereka menjadikan pesara sebagai sasaran.

“Manfaatkanlah wang ganjaran persaraan yang diberikan itu setelah berhempas pulas dikumpul 30 tahun untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7188
Kongsi :
Previous post Bajet 2024 Negeri Melaka mampan, mesra peniaga
Next post Wanita masyarakat India carum SKSSR masih rendah
Ubah saiz-+=